DUNIA
Elon Musk lancar parti politik baharu 'America Party' selepas putus hubungan dengan Trump

Musk menegaskan bahawa America Party akan menjadi wadah untuk pembaharuan politik dan kebebasan rakyat. - Foto fail/REUTERS
WASHINGTON: Tokoh teknologi dan jutawan Elon Musk mengumumkan penubuhan sebuah parti politik baharu di Amerika Syarikat (AS), dikenali sebagai America Party, dalam usaha mencabar dominasi sistem dua parti yang telah lama menguasai politik negara itu.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform media sosial miliknya, X, pada Hari Kemerdekaan AS, selepas Musk menjalankan tinjauan pendapat yang menunjukkan dua pertiga responden mahukan alternatif kepada sistem politik sedia ada.
“Hari ini, America Party ditubuhkan untuk mengembalikan kebebasan anda,” tulis Musk. “Kita hidup dalam sistem satu parti yang membazir dan korup, bukan demokrasi sebenar.”
Langkah ini hadir selepas perbalahan terbuka antara Musk dan Presiden Donald Trump, berikutan kelulusan rang undang-undang perbelanjaan besar-besaran yang digelar “One Big Beautiful Bill”.
Musk menentang keras rang undang-undang itu, menyifatkannya sebagai “perhambaan hutang” dan berjanji untuk menentang ahli Kongres yang menyokongnya, termasuk bekas sekutunya dalam Parti Republikan.
Musk, yang sebelum ini mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di bawah pentadbiran Trump, telah membelanjakan hampir AS$290 bilion untuk menyokong kempen Republikan pada pilihan raya 2024.
Namun, hubungan mereka mula retak selepas Musk mengkritik dasar fiskal Trump dan mengancam untuk melancarkan cabaran politik secara terbuka.
Parti baharu ini dijangka memberi tumpuan kepada beberapa kerusi Senat dan daerah Kongres yang kritikal, dengan harapan menjadi penentu undi dalam undang-undang kontroversi.
Musk menyatakan bahawa strategi ini boleh memastikan “undang-undang benar-benar mencerminkan kehendak rakyat”.
Walaupun pengumuman ini mencetuskan reaksi bercampur di media sosial, termasuk kemarahan penyokong gerakan MAGA, Musk menegaskan bahawa America Party akan menjadi wadah untuk pembaharuan politik dan kebebasan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami