SEPANG: Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim menyifatkan, pihak yang melabel misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 sebagai gagal, telah terpengaruh dengan naratif dimainkan rejim Israel.
Beliau berkata, kejayaan sebenar misi itu bukan hanya tertumpu kepada soal bantuan berjaya dibawa masuk ke Gaza, sebaliknya bagaimana ia membuka tekanan antarabangsa terhadap Israel.
“Mana-mana pihak yang kata kita kalah kerana gagal menghantar bantuan… sebenarnya orang itu sudah pun termakan, terguna dan terpihak kepada rejim Zionis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis menyambut kepulangan 28 aktivis Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini, pada Ahad.
Tambah beliau, kejayaan sebenar misi ini adalah apabila masyarakat dunia kembali memberi perhatian terhadap isu sekatan Gaza dan tindakan Israel di perairan antarabangsa.
“Kita berjaya membuka mata dunia dan membuktikan tindakan Israel menculik aktivis di perairan antarabangsa adalah pelanggaran undang-undang dunia.
“Misi ini berjaya, misi ini menang,” tegasnya.
Menurut beliau, GSF 2.0 berjaya mencipta gelombang solidariti antarabangsa luar biasa apabila menghimpunkan 422 aktivis daripada lebih 40 negara.
Jelasnya, misi selama 40 hari merentasi Laut Mediterranean itu turut disifatkan sebagai antara usaha kolektif terbesar dunia untuk memecahkan kepungan Gaza.
“Ini sehingga mencetuskan kemarahan global terhadap tindakan Israel yang didakwa bertindak seperti lanun antarabangsa di perairan terbuka.
“Musuh kita adalah musuh yang sama iaitu rejim Israel yang tiada maruah. Maka janganlah kita berpecah dan acukan senapang perang sengketa kerana itu hanya menyempurnakan misi penjajah yang damba kesatuan kita melemah… lantas disibukkan dengan hal yang membunuh, bukan menghidupkan,” katanya.