Skip to main content

Dunia

Elon Musk, Tim Cook dan CEO Boeing sertai lawatan Donald Trump ke China

Sumber: REUTERS
(Dari kiri), Tim Cook, Elon Musk dan Kelly Ortberg akan menyertai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam lawatan beliau ke China minggu ini. - Gambar Reuters

WASHINGTON: Usahawan teknologi terkenal, Elon Musk; Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook; Ketua GE Aerospace, Larry Culp dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Kelly Ortberg akan menyertai Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dalam lawatan beliau ke China minggu ini, menurut seorang pegawai White House kepada Reuters.

Turut serta dalam delegasi berprofil tinggi itu ialah bekas penasihat keselamatan negara AS, Dina Powell McCormick (Meta); Ketua Pegawai Eksekutif BlackRock, Larry Fink; Ketua Blackstone, Stephen Schwarzman; Ketua Cisco, Chuck Robbins; Ketua Micron, Sanjay Mehrotra; Ketua Mastercard, Michael Miebach; Ketua Qualcomm, Cristiano Amon serta Ketua Visa, Ryan McInerney.

Kelly Ortberg sebelum ini memberitahu Reuters pada April bahawa Boeing mengharapkan bantuan pentadbiran Trump untuk membuka laluan terhadap pesanan besar yang telah lama tertangguh daripada China.

China dan pembuat pesawat AS itu telah lama mengadakan rundingan bagi satu perjanjian yang menurut sumber industri berpotensi merangkumi pembelian sekitar 500 pesawat 737 MAX serta puluhan pesawat berbadan lebar yang menggunakan enjin keluaran GE. 

Jika dimuktamadkan, ia bakal menjadi pesanan utama pertama Boeing dari China sejak 2017 dan dilihat sebagai kemenangan besar menjelang pertemuan puncak pemimpin kedua-dua negara, selain berpotensi menjadi tempahan pesawat terbesar dalam sejarah.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, tidak menyertai lawatan ke Beijing bersama Trump, menurut sumber yang mengetahui perkara itu pada Isnin.

Sumber berkenaan memaklumkan Huang tidak dijemput, memandangkan tumpuan White House dalam lawatan kali ini lebih terarah kepada sektor pertanian dan penerbangan komersial, termasuk tempahan pesawat Boeing. 

White House bagaimanapun belum memberikan sebarang komen rasmi berhubung perkara tersebut.

Trump sebelum ini mempunyai hubungan rapat dengan Huang dan telah bersetuju membenarkan eksport cip kecerdasan buatan H200 keluaran Nvidia ke China. 

Namun Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick pada 22 April berkata, cip berkenaan masih belum dijual kerana syarikat-syarikat China berdepan kesukaran mendapatkan kebenaran daripada kerajaan mereka. - Agensi

Must Watch Video