Skip to main content

Dunia

Empat lagi terkorban dalam serangan Israel di selatan Lubnan

Smoke billows from southern Lebanon following Israeli strikes
Dron Israel turut melancarkan beberapa serangan ke atas bandar Habboush dan Abba, selain menyasarkan sebuah motosikal berhampiran persimpangan Popular Aid, menyebabkan seorang cedera. - Reuters

BEIRUT: Empat orang terbunuh manakala sekurang-kurangnya 14 lagi cedera dalam siri serangan Israel di selatan Lubnan pada Jumaat, meskipun usaha diplomatik sedang giat dijalankan bagi mengekalkan gencatan senjata yang rapuh, menurut Agensi Berita Kebangsaan Lubnan.

Angka itu berdasarkan laporan yang diterbitkan setakat 0812GMT.

Di wilayah Nabatieh, seorang maut dan seorang lagi cedera apabila sebuah bangunan berhampiran balai polis di bandar Doueir menjadi sasaran serangan udara Israel hingga musnah.

Sementara itu, tiga lagi terbunuh dalam satu lagi serangan di bandar yang sama, menjadikan jumlah korban di Doueir meningkat kepada empat orang.

Dron Israel turut melancarkan beberapa serangan ke atas bandar Habboush dan Abba, selain menyasarkan sebuah motosikal berhampiran persimpangan Popular Aid, menyebabkan seorang cedera.

Dalam perkembangan berkaitan, bedilan artileri Israel mengenai Kfar Rumman, Nabatieh al-Fawqa serta kawasan pinggir Choukin dan Mayfadoun, manakala sebuah dron menyerang kawasan sekitar bulatan Harouf-Toul.

Di Tyre, serangan berhampiran Hospital Jabal Amel mencederakan 12 orang dan memusnahkan sebuah bangunan milik Bank Audi.

Pasukan pertahanan awam kemudian membawa semua mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Insiden itu berlaku walaupun gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak 17 April dan dilanjutkan oleh Washington hingga awal Julai masih berterusan.

Serangan berulang kali itu turut berlaku ketika pelbagai usaha diplomatik sedang dijalankan bagi mengekalkan gencatan senjata dan mengelakkan keadaan terus meruncing.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement