Skip to main content

Malaysia

Piala ASEAN: Biar lambat 'panas', Harimau Malaya belasah Laos 4-0

FB Malaysia NT.
Wan Kuzain menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol keempat menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-84, sekali gus menghadiahkan gol sulungnya di pentas antarabangsa - Foto Facebook Malaysia NT
Advertisement

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya meneruskan rentak cemerlang apabila membelasah Laos 4-0 dalam aksi kedua Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini, sekali gus mengukuhkan peluang untuk mara ke separuh akhir.

Biarpun 'sedikit lambat panas' tetapi skuad kendalian Tan Cheng Hoe menguasai permainan sejak wisel permulaan dengan mencatat 77 peratus penguasaan bola pada separuh masa pertama, namun terpaksa menunggu sehingga penghujung babak itu untuk memecah kebuntuan.

Kapten pasukan, Paulo Josue akhirnya menghadiahkan gol pembukaan buat Harimau Malaya pada minit ke-45 menerusi penyudah kemas yang menewaskan penjaga gol Laos, Keo Oudone Souvannasangso, sekali gus memberikan kelebihan 1-0 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Malaysia terus menggandakan asakan dan berjaya menambah jaringan pada minit ke-57 menerusi Endrick Dos Santos  yang menyempurnakan peluang untuk menjadikan kedudukan 2-0.

Serangan bertali arus skuad Harimau Malaya menyaksikan Viengxay Sitdavong tertampan bola ke gawang sendiri untuk menghadiahkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-66.

Cheng Hoe melakukan pertukaran pada minit ke-70 dengan memasukkan pemain tengah Wan Kuzain Wan Kamal menggantikan Mahamadou Sumareh, dan pertukaran itu segera membuahkan hasil.

Wan Kuzain menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol keempat menerusi sepakan percuma menarik pada minit ke-84, sekali gus menghadiahkan gol sulungnya di pentas antarabangsa.

Malaysia menampilkan gabungan pemain berpengalaman dan muka baharu dengan Paulo, Muhammad Syafiq Ahmad serta Mahamadou Sumareh mengetuai cabaran Harimau Malaya bersama beberapa pemain muda.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia mengutip tiga mata penuh untuk melonjak kepada enam mata daripada dua perlawanan.

Selepas ini, Harimau Malaya akan membuat kunjungan ke Bangkok bagi menghadapi Thailand pada 1 Ogos sebelum mengakhiri kempen Kumpulan B dengan melayan kunjungan Filipina di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 8 Ogos.
 

Must Watch Video

Advertisement