Ringkasan AI
- Sekurang-kurangnya empat maut dan 30 cedera dalam kebakaran besar di Stesen Janakuasa Hartha, Basra, selatan Iraq pada Sabtu.
- Kebakaran dipercayai berpunca daripada letupan sistem bekalan gas, turut merosakkan lebih 17 rumah berhampiran dan memaksa operasi stesen dihentikan serta-merta.
- Punca kejadian serta tahap kerosakan masih dalam siasatan, sementara pasukan bomba berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran di lokasi terjejas.
BASRA: Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala 30 lagi cedera dalam kebakaran besar di Stesen Janakuasa Hartha di utara Basra, selatan Iraq, pada Sabtu.
Menurut pegawai keselamatan dan agensi berita rasmi Iraq (INA), kebakaran dipercayai tercetus susulan letupan pada sistem bekalan gas di stesen janakuasa berkenaan.
Kebakaran itu turut merebak ke kawasan berhampiran dan merosakkan lebih 17 rumah, manakala Jabatan Kesihatan Basra sebelum ini melaporkan dua kematian serta 28 kecederaan.
Direktorat Pertahanan Awam Iraq berkata pasukan bomba dan penyelamat yang dikerahkan ke lokasi berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran di stesen janakuasa berkenaan serta kediaman penduduk yang terjejas.
Susulan kejadian, operasi stesen janakuasa yang mempunyai kapasiti penjanaan terpasang sebanyak 800 megawatt terpaksa dihentikan serta-merta.
Sebelum kebakaran berlaku, fasiliti itu dilaporkan menjana kira-kira 400 megawatt tenaga elektrik.
Rakaman video yang tular dalam talian menunjukkan kepulan asap hitam tebal menjulang ke udara, selain beberapa kenderaan yang musnah terbakar.
Orang ramai turut dilihat berkumpul berhampiran lokasi ketika operasi kecemasan dijalankan.
Setakat ini, punca kejadian dan tahap kerosakan masih dalam siasatan pihak berkuasa tempatan.
Untuk rekod, infrastruktur bekalan elektrik di Iraq sering berdepan pelbagai cabaran termasuk kekurangan pelaburan selama beberapa dekad, penyelenggaraan yang tidak mencukupi serta ketidakupayaan memenuhi permintaan tinggi, terutama pada musim panas.
Insiden kebakaran dan kegagalan teknikal di pencawang serta fasiliti tenaga sebelum ini turut beberapa kali menjejaskan bekalan elektrik dan menyebabkan gangguan bekalan secara meluas di negara Asia Barat itu.