JAKARTA: Enam gunung berapi aktif di Indonesia dilaporkan meletus pada hari yang sama, namun pihak berkuasa menegaskan fenomena itu berlaku secara berasingan dan tidak berpunca daripada satu proses geologi yang sama.
Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG) memaklumkan gunung berapi yang meletus secara serentak itu ialah Gunung Ibu di Maluku Utara, Gunung Semeru di Jawa Timur, Gunung Lewotobi Laki-laki dan Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT), Gunung Anak Krakatau di Selat Sunda serta Gunung Sinabung di Sumatera Utara.
Ketua PVMBG, Rita Susilawati berkata, kejadian beberapa gunung berapi meletus dalam tempoh yang sama bukanlah sesuatu yang luar biasa memandangkan Indonesia terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik dan mempunyai 127 gunung berapi aktif.
Menurut beliau, setiap gunung berapi mempunyai sistem magma dan proses vulkaniknya sendiri, justeru tiada bukti yang menunjukkan letusan tersebut saling mempengaruhi antara satu sama lain.
“Proses meletus antara satu gunung dengan gunung yang lain adalah berbeza.
"Kami tidak menemukan bukti adanya satu proses geologi yang meletus secara serentak,” katanya.
PVMBG turut menjelaskan bahawa pergerakan kerak bumi tidak semestinya menjadi pencetus kepada letusan gunung berapi, kecuali jika terdapat perubahan ketara pada data pemantauan seperti aktiviti seismik dalaman, deformasi gunung, suhu serta pelepasan gas.
Berikutan letusan yang berlaku, pihak berkuasa menggesa penduduk yang tinggal berhampiran kawasan gunung berapi supaya mematuhi zon larangan yang ditetapkan dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada saluran rasmi.
Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai maklumat tidak sahih yang tular di media sosial dan kekal berwaspada terhadap sebarang perubahan aktiviti gunung berapi di kawasan masing-masing.