KYIV: Polis Ukraine menembak mati seorang lelaki yang didakwa melepaskan tembakan ke arah orang ramai di sebuah daerah di sini, pada Sabtu sebelum dia mengurung diri di sebuah pasar raya bersama tebusan dan enggan berunding, dalam satu kejadian yang mengorbankan enam nyawa.
Perkhidmatan Keselamatan Ukraine memaklumkan, insiden tembakan itu sedang disiasat sebagai satu tindakan pengganasan.
Advertisement
Presiden Volodymyr Zelenskyy dalam ucapan video berkata, kejadian berlaku di daerah Holosiivskyi yang dikelilingi kawasan kehijauan dan mencederakan 14 orang, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun.
“Dia mengambil tebusan dan malangnya seorang daripada mereka terbunuh,” kata Zelenskyy.
“Empat orang meninggal dunia di jalanan. Seorang wanita meninggal dunia di hospital selepas mengalami kecederaan parah.”
Insiden tembakan seperti ini amat jarang berlaku di Ukraine.
Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan pasukan kecemasan memindahkan sekurang-kurangnya satu mayat ke dalam ambulans.
Saluran Telegram tidak rasmi memetik saksi sebagai berkata, suspek bergerak menyusuri jalan dan menembak mati orang ramai dari jarak dekat tanpa sebarang amaran sebelum memasuki pasar raya itu.
“Penembak di Kyiv telah ditewaskan semasa penahanan,” kata Menteri Dalam Negeri, Ihor Klymenko, menerusi Telegram.
“Pasukan khas polis kebangsaan menyerbu pasar raya tempat penyerang berada. Dia telah mengambil orang awam sebagai tebusan dan menembak seorang anggota polis semasa cubaan penahanannya. Sebelum itu, pasukan perunding cuba menghubunginya.”
Klymenko memberitahu wartawan di lokasi kejadian bahawa pihak polis telah cuba berunding dengan suspek selama 40 minit, namun gagal.
Beliau berkata, lelaki itu memiliki senjata berdaftar secara sah dan telah memperoleh sijil perubatan bagi membolehkannya menggunakan senjata tersebut.
Peguam Negara, Ruslan Kravchenko berkata, penembak itu dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 58 tahun yang berasal dari Moscow.
Zelenskyy turut memaklumkan bahawa suspek mempunyai rekod jenayah dan telah membakar apartmen tempat dia berdaftar sebelum keluar ke jalan dengan senjata api.
Presiden Ukraine itu turut memberitahu, suspek pernah menetap untuk satu tempoh di wilayah Donetsk, di timur negara itu, salah satu kawasan utama konflik dalam perang empat tahun dengan Rusia.
Kravchenko pula berkata, suspek mengacukan senjata automatik.
Beliau memuat naik sekeping gambar yang menunjukkan sosok tubuh terlentang berlumuran darah di dalam sebuah kedai, dengan sepucuk senjata terletak berhampiran, dikenakan kesan kabur. - Agensi