KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta terhadap sebuah projek pembangunan di Bukit Kiara susulan kejadian banjir lumpur di Jalan Abang Haji Openg, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini, petang semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata tindakan itu diambil sebagai langkah segera berikutan situasi kecemasan serta risiko keselamatan terhadap penduduk.
Advertisement
"DBKL mengambil tindakan serta-merta berikutan situasi kecemasan serta risiko yang boleh menjejaskan keselamatan penduduk berhampiran.
"Langkah-langkah segera yang telah diambil malam ini termasuk perintah henti kerja yang dikeluarkan serta merta dan kompaun dikenakan ke atas kontraktor," katanya.
Selain perintah henti kerja dan kompaun terhadap kontraktor, DBKL juga melaksanakan beberapa langkah segera bagi mengawal keadaan di lokasi kejadian.
Antara tindakan yang diambil termasuk operasi pembersihan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pembukaan struktur papan dendeng serta pembaikan perangkap kelodak bagi mengawal aliran air permukaan.
“DBKL juga telah mewujudkan pusat kawalan di lokasi bagi menyelaras operasi, manakala JBPM berada dalam keadaan bersedia sekiranya sebarang operasi kecemasan diperlukan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi kejadian bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.
Tambah Hannah, satu mesyuarat tergempar akan diadakan dalam masa terdekat bagi menilai semula pelan mitigasi sedia ada serta menentukan langkah tambahan yang perlu diambil oleh kontraktor bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Dalam masa yang sama, DBKL turut mengarahkan semakan menyeluruh terhadap semua pembangunan cerun di kawasan Taman Persekutuan Bukit Kiara, termasuk pengenalan garis panduan baharu bagi kerja tanah yang dilaksanakan secara berfasa dan lebih terkawal.
“Kawal selia terhadap kerja tanah di kawasan cerun akan diperketat dan tidak lagi dibenarkan dilaksanakan secara meluas tanpa kawalan rapi,” tegasnya.
Hannah turut menggesa Jabatan Landskap Negara (JLN) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya mengambil langkah mitigasi segera, sambil menekankan bahawa aspek keselamatan awam mesti menjadi keutamaan utama semua pihak yang terlibat.