Skip to main content

Dunia

Enam tentera Pakistan terbunuh dalam peningkatan keganasan

Pakistani army soldiers patrol at D Chowk near the President's House, as Pakistan prepares to host the U.S. and Iran for the second phase of peace talks in Islamabad, Pakistan April 21, 2026. REUTERS/Akhtar Soomro
Keganasan meningkat di kawasan terpencil Pakistan berhampiran sempadan Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - Gambar hiasan/ Reuters
Advertisement

ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya enam askar Pakistan terbunuh di wilayah barat laut bersempadan dengan Afghanistan di tengah-tengah peningkatan keganasan, menurut pihak tentera pada Ahad, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

Anggota tentera, termasuk dua pegawai, maut ketika berbalas tembakan dengan pengganas di daerah Hangu Khyber Pakhtunkhwa.

Sekurang-kurangnya lapan pengganas yang menyerang konvoi pasukan keselamatan turut terbunuh, kata sayap media tentera, ISPR, dalam satu kenyataan.

Serangan itu berlaku sehari selepas 22 orang, termasuk anggota polis, terbunuh dalam serangan terancang di wilayah itu.

Pada Jumaat, sebuah kereta sarat bahan letupan merempuh pintu masuk sebuah masjid di ibu pejabat polis di Kohat dan meletup ketika jemaah serta pegawai berkumpul untuk solat Jumaat.

Penyerang bersenjata kemudian menyerbu kawasan itu, dan salah seorang daripada mereka meledakkan tali pinggang letupan.

Keganasan meningkat di kawasan terpencil Pakistan berhampiran sempadan Afghanistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada awal Ogos, 14 orang maut dalam serangan bunuh diri di luar balai polis di Lembah Swat di Khyber Pakhtunkhwa.

Ratusan orang berada di luar stesen ketika itu, melakukan tunjuk perasaan menentang keganasan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.

Islamabad menuduh Afghanistan membenarkan militan, yang mengatur serangan di Pakistan, beroperasi dari wilayah Afghanistan.

Pegawai di Kabul menafikan tuduhan tersebut. Konflik antara kedua-dua negara jiran itu semakin memuncak awal tahun ini dan insiden berbalas tembakan sering berlaku.

-- BERNAMA-dpa 

 

Must Watch Video

Advertisement