LONDON: Britain melaporkan sebanyak 137,583 kes baharu COVID-19 di England dan Wales pada Ahad (2 Januari), berbanding 162,572 kes di England pada Sabtu, menurut data kerajaan.

Turut dilaporkan sejumlah 73 kematian dalam masa 28 hari ujian positif di England dan Wales, satu penurunan berbanding 154 di England pada Sabtu.

Pihak kerajaan memberitahu, data bagi Scotland dan Ireland Utara akan dikemas kini selepas cuti tahun baharu.

Pada Sabtu lalu, England sahaja mencatat sejumlah 162,572 kes, rekod tertinggi harian bagi kes yang dilaporkan. Bagaimanapun, angka dilihat lebih rendah sedikit pada Ahad dan awal minggu kerana jumlah ujian saringan berkurangan pada hujung minggu.

Angka kes harian merujuk kepada kes berdasarkan tarikh dilaporkan, hanya merangkumi kes positif daripada hasil ujian dan tidak termasuk kes jangkitan semula. Itu bermakna, angka sebenar jangkitan adalah lebih tinggi.

Pakar statistik British, Prof David Spiegelhalter memberitahu, jangkitan harian COVID-19 di United Kingdom boleh mencecah angka 500,000 kerana selalunya kurang daripada separuh jangkitan itu direkodkan sebagai kes positif. Sementara kes jangkitan semula tidak dikira kerana bilangan ujian adalah terhad.