LONDON: Raja Britain, Raja Charles III memulakan lawatan ke Caribbean pada Selasa ketika tekanan terhadap Britain untuk memohon maaf dan membayar pampasan berhubung peranannya dalam perdagangan hamba semakin meningkat.
Charles dijadual memulakan lawatan sembilan hari ke Bahamas sebelum meneruskannya ke Guyana serta Antigua dan Barbuda bersama Ratu Camilla.
Pasangan diraja itu turut dijadual menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM), sidang kemuncak dwitahunan yang menghimpunkan 56 negara anggota Komanwel.
Lawatan pertama Charles ke Caribbean sebagai raja itu berlangsung ketika desakan semakin lantang agar Britain menawarkan bentuk pampasan kepada negara-negara yang terkesan akibat penglibatannya dalam perdagangan hamba transatlantik.
Minggu lalu, Setiausaha Agung Komanwel, Shirley Botchwey berkata, sudah tiba masanya perbincangan mengenai pampasan dilaksanakan.
Ketika ditanya sama ada Raja Charles perlu memohon maaf atas peranan sejarah Britain dalam perdagangan hamba, beliau berkata, langkah sedemikian tidak akan memudaratkan sesiapa.
Menurutnya, perkara itu memang diminta oleh beberapa negara anggota dan tidak boleh dielakkan begitu sahaja, walaupun bentuk pampasan yang sesuai masih perlu diperincikan.
Dalam pada itu, Komuniti Caribbean (Caricom), yang dianggotai 23 negara dan wilayah bersekutu, memaklumkan bulan lalu bahawa mereka akan mendesak supaya isu pampasan dimasukkan dalam agenda CHOGM.
Setiausaha Agung Caricom, Carla Barnett berkata, tuntutan pampasan bukan sekadar soal kewangan, sebaliknya berkaitan keadilan, pengiktirafan dan pertanggungjawaban terhadap penderitaan yang dialami jutaan mangsa perhambaan.
Katanya, ia juga penting bagi membina masa depan yang lebih adil untuk keturunan mereka yang kehilangan nyawa, kebebasan dan maruah akibat sistem penjajahan.
Bagaimanapun, Charles terikat kepada nasihat kerajaan Britain dalam setiap urusan rasmi di luar negara dan setakat ini terus mematuhi pendirian London yang menolak permohonan maaf rasmi berhubung peranan negara itu dalam perdagangan hamba.
Istana Buckingham sebelum ini menegaskan, Charles tidak akan mengemukakan permohonan maaf sepanjang lawatan berkenaan kerana perkara itu merupakan isu yang perlu ditangani oleh kerajaan.
Namun, istana berkata, baginda tidak akan mengelak daripada mengakui sejarah gelap tersebut.
Pada CHOGM 2024, Charles mengakui bahawa aspek paling menyakitkan dalam sejarah lampau masih memberi kesan hingga ke hari ini.
Namun, baginda tidak mengemukakan permohonan maaf rasmi dan tidak menyentuh isu pampasan secara langsung.
Sementara itu, Setiausaha Perniagaan United Kingdom, Jonathan Reynolds berkata, tuntutan pampasan bukanlah sesuatu yang munasabah.
Beliau berkata, sejarah Britain perlu dibincangkan secara terbuka, namun peristiwa yang berlaku ratusan tahun lalu tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan kepada generasi masa kini.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, institusi monarki Britain dilihat mengambil pendekatan lebih lunak dalam menangani legasi perhambaan.
Semasa lawatan ke Kenya pada 2023, lawatan pertamanya ke negara Komanwel sebagai ketua pertubuhan itu, Charles menyifatkan kesalahan silam berkaitan perhambaan sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan dan disesali.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 12.5 juta penduduk Afrika diculik serta dijual sebagai hamba oleh pedagang Eropah antara abad ke-15 hingga abad ke-19, dengan Britain dipercayai memainkan peranan dalam pemindahan kira-kira 3.2 juta individu.
Apabila perhambaan dimansuhkan di Britain pada 1834, kerajaan ketika itu membayar pampasan kepada pemilik hamba yang nilainya dianggarkan bersamaan £17 bilion (AS$22.5 bilion) hari ini, manakala golongan hamba yang dibebaskan tidak menerima sebarang pampasan. - Agensi