ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata beliau akan menerima apa jua keputusan pengundian Ahad ini dan berundur jika kalah, sekali gus menafikan kebimbangan yang beliau mungkin enggan melepaskan kuasanya, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

"Soalan yang tidak masuk akal... Kami berkuasa menerusi demokrasi di Turkiye... Jika negara memutuskan sebaliknya, saya akan melakukan mengikut kehendak demokrasi, tiada apa lagi yang dapat dilakukan.

"Blok saya akan menghormati apa jua keputusan...," kata Erdogan sebagai reaksi terhadap persoalan sama ada beliau mahu terus berkuasa, disiarkan stesen televisyen tempatan.

Beliau berkata jika pembangkang bimbang tentang keselamatan pilihan raya, mereka harus memantau semua pusat mengundi dan "memastikan keselamatan" seperti yang dilakukan oleh ahli parti yang diterajui Erdogan.

"Kehendak negara tidak boleh dikompromi," tegas Erdogan.

Erdogan turut menyuarakan keyakinannya yang akan dipilih semula serta memperoleh majoriti parlimen.

Selepas 20 tahun menerajui Turkiye, Erdogan menghadapi ujian pilihan raya yang paling sukar di tengah-tengah kemarahan rakyat terhadap masalah ekonomi, cara kerajaan menguruskan bencana gempa bumi kuat pada Februari selain isu kira-kira 3.5 juta pelarian Syria.

Calon pembangkang, Kemal Kilicdaroglu, kini dilihat mendahului dalam pemilihan presiden.

-- BERNAMA