ISTANBUL: Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus EU pada Isnin memaklumkan bahawa Eropah Barat mengalami tempoh Jun dan Julai paling panas pernah direkodkan, ketika rantau itu dilanda gelombang haba ketiga dan keempat sejak Mei, lapor Anadolu Ajansi.
“Eropah Barat mengalami tempoh Jun-Julai paling panas dalam rekod dan Julai menyaksikan gelombang haba ketiga dan keempat sejak Mei, menandakan tempoh luar biasa cuaca panas melampau pada musim panas ini,” menurut Copernicus dalam satu laporan.
Laporan itu mendapati keadaan kering yang meluas di sebahagian besar rantau berkenaan pada Mei dan Jun berterusan serta semakin buruk, manakala Perancis, Sepanyol, sebahagian Jerman dan United Kingdom mencatat jumlah hujan serta paras kelembapan tanah yang rendah.
Aliran sungai juga berada di bawah paras purata, khususnya Sungai Seine, Rhine dan Danube.
“Julai 2026 merupakan bulan ketiga berturut-turut dengan cuaca panas luar biasa di Eropah Barat, menjadikan suhu gabungan bagi Jun dan Julai mencatat rekod baharu bagi rantau itu,” kata Samantha Burgess, peneraju strategik iklim di Pusat Ramalan Cuaca Jangka Sederhana Eropah.
Burgess menjelaskan bahawa kemarau yang meluas menjadi semakin buruk akibat suhu melampau, apabila sistem tekanan tinggi berterusan memerangkap haba di rantau berkenaan. Beliau berkata apabila tanah semakin kering, keupayaannya untuk memberikan penyejukan semula jadi berkurangan, “membolehkan haba terkumpul dengan lebih mudah”.
“Ini adalah contoh jelas bagaimana perubahan iklim meningkatkan cuaca panas melampau, dengan haba dan kemarau menjadikan keadaan semakin buruk ,” kata Burgess.
Copernicus turut menyatakan bahawa keadaan panas dan kering berpanjangan di Eropah Barat menyumbang kepada penularan dan peningkatan intensiti kebakaran hutan ekstrem pada Julai.
“Bulan itu turut menyaksikan suhu permukaan laut tertinggi pernah direkodkan bagi Julai di seluruh lautan luar kawasan kutub, sebahagiannya didorong oleh keadaan El Nino yang mula berkembang di Pasifik khatulistiwa,” menurut laporan itu.
-- BERNAMA-ANADOLU