Skip to main content

Malaysia

PTVM, PROFIMA gesa kerajaan tingkat peruntukan RTM, perkukuh kebajikan penggiat industri kreatif

Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluas pembelian program televisyen daripada syarikat penerbitan tempatan.
Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluas pembelian program televisyen daripada syarikat penerbitan tempatan.

Ringkasan AI

  • PTVM dan PROFIMA menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada RTM bagi memperluas pembelian program televisyen tempatan dan menjana peluang pekerjaan.
  • Kedua-dua persatuan mencadangkan keahlian wajib PROFIMA dan PTVM serta penubuhan Tabung Kebajikan Pekerja Industri Kreatif untuk kebajikan penggiat industri.
  • Mereka turut memperjuangkan caruman PERKESO untuk semua pekerja industri kreatif dan merancang Townhall Industri Kreatif pada Januari 2027.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi memperluas pembelian program televisyen daripada syarikat penerbitan tempatan.

Kedua-dua persatuan berpandangan, peningkatan peruntukan itu mampu membuka lebih banyak peluang kepada syarikat penerbitan tempatan, sekali gus menjana peluang pekerjaan kepada pengarah, penulis skrip, pelakon, kru teknikal serta tenaga kerja industri kreatif.

Gesaan itu merupakan antara enam agenda utama yang dipersetujui kedua-dua persatuan dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik antara majikan dan pekerja bagi memastikan kelangsungan industri kreatif negara.

Advertisement

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin, persefahaman itu dicapai susulan kunjungan hormat delegasi PROFIMA yang diketuai Presidennya, Khalil Salleh kepada PTVM yang diterajui Presidennya, Jurey Latiff Rosli.

Selain peningkatan peruntukan RTM, kedua-dua persatuan turut mencadangkan supaya keahlian PROFIMA diwajibkan kepada semua pekerja produksi di belakang tabir, manakala syarikat penerbitan televisyen diwajibkan menjadi ahli PTVM.

Advertisement

Cadangan itu bertujuan memperkukuh penyelarasan industri, meningkatkan profesionalisme serta memastikan kepentingan dan kebajikan penggiat industri lebih terjamin.

Bagaimanapun, pelaksanaannya akan diperhalusi bersama pihak berkuasa berkaitan supaya selaras dengan peruntukan undang-undang dan hak pihak terlibat.

Dalam aspek perlindungan sosial pula, PTVM dan PROFIMA sepakat memperjuangkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi semua pekerja industri kreatif, termasuk pekerja bebas atau *freelancer* yang terbabit dalam produksi televisyen dan filem.

Sehubungan itu, satu mekanisme caruman bersesuaian akan dicadangkan kepada PERKESO dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi kerjasama syarikat penerbitan ahli PTVM.

Kedua-dua persatuan turut bersetuju mengusahakan penubuhan Tabung Kebajikan Pekerja Industri Kreatif bagi membantu penggiat industri yang berdepan kesulitan hidup, kemalangan, penyakit serius atau musibah.

Tabung berkenaan dicadangkan untuk digerakkan melalui kerjasama persatuan, syarikat penerbitan, pemain industri serta sumbangan kerajaan dan pihak korporat, dengan mekanisme tadbir urus yang telus.

Sementara itu, PTVM dan PROFIMA merancang menganjurkan Townhall Industri Kreatif pada Januari 2027 sebagai platform membincangkan isu peluang pekerjaan, kadar upah, perlindungan sosial dan kebajikan pekerja.

Program berkenaan turut disasarkan menjadi platform pelancaran tabung kebajikan tersebut, tertakluk kepada penyempurnaan persediaan dan mekanisme pelaksanaannya.

Dalam pada itu, kedua-dua persatuan menegaskan kepentingan pendekatan musyawarah dan rundingan dalam menyelesaikan sebarang perbezaan pandangan antara majikan dan pekerja bagi menjamin keharmonian industri.

"Majikan memerlukan pekerja untuk menghasilkan produksi, manakala pekerja memerlukan syarikat penerbitan untuk menyediakan peluang pekerjaan. Keduaduanya saling bergantung dan mesti bergerak seiring," menurut kenyataan itu.

PTVM dan PROFIMA turut berharap kerajaan memberi perhatian serius terhadap enam agenda yang dikemukakan bagi memastikan pembangunan industri kreatif bukan sahaja tertumpu kepada penghasilan kandungan berkualiti, tetapi turut menjamin kelangsungan syarikat penerbitan serta kesejahteraan tenaga kerjanya.
 

Must Watch Video

Advertisement