KIEV: Eropah berdepan risiko bencana radiasi apabila loji nuklear di Ukraine yang kini ditawan Rusia terputus dari rangkaian kuasa negara itu.

Menurut Presiden Volodymyr Zelenskyy, loji Zaporizhzhia itu kini mengalami kerosakan rangkaian kuasa elektrik susulan kebakaran sebelum ini.

Jelasnya, kebimbangan itu setelah melihat kepada beberapa pertempuran berdekatan kompleks yang merupakan loji nuklear terbesar Eropah.

Dakwa Zelenskyy, sekiranya penjana kuasa tidak dihidupkan selepas bekalan terputus, maka terdapat risiko kemalangan radiasi.

Kesan kebakaran sebelum ini menyebabkan grid nasional mengalami gangguan buat kali pertama.

Zelenskyy turut menyalahkan kerosakan itu kepada Rusia kerana meletakkan Ukraine dan Eropah kepada risiko bencana.

Namun gabenor tempatan yang dilantik Rusia pula menyalahkan tentera Ukraine atas serangan itu, menuduh mereka menyebabkan gangguan bekalan elektrik di wilayah berkenaan.

Ketika ini, paras radiasi berdekatan adalah normal walaupun kompleks loji itu kehilangan bekalan kuasa utamanya pada Khamis.

Dalam pada itu, menurut Menteri Luar Ukraine, Dmytro Kuleba berkata, situasi di Loji Nuklear Zaporizhzhia kini sangat kritikal.

Beliau mendakwa menerima beberapa laporan terdapat kebakaran berdekatan kompleks yang turut menjejaskan bekalan elektrik.

Katanya, selagi Rusia masih menawan loji itu, risiko bencana adalah tinggi.

"Di Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia, keadaan kini amat berbahaya.

"Saya menerima laporan terdapat kebakaran di hutan berhampiran loji kuasa. Kami masih perlu meneliti isu ini dengan lebih lanjut.

"Apabila Rusia tiba, Ukraine, Eropah dan dunia kelihatan berada di ambang bencana nuklear pada skala yang tidak dapat dibayangkan.

"Selagi Rusia menawan loji tenaga nuklear di Zaporizhzhia, ancaman tragedi nuklear akan menjadi sangat tinggi," kata Kuleba.