BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin secara rasmi melancarkan "Inisiatif Pasukan Gaza" yang menghimpunkan sumbangan kewangan €883.6 juta (US$1 bilion) bagi menyokong usaha pemulihan awal di wilayah Palestin, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Inisiatif itu diumumkan menjelang Mesyuarat Peringkat Menteri Kedua Kumpulan Penderma Palestin yang dihoskan Suruhanjaya Eropah di Brussels dan dipengerusikan bersama Pesuruhjaya EU bagi Mediterranean Dubravka Suica serta Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin Mohammad Mustafa.
Mesyuarat itu menghimpunkan wakil daripada 65 delegasi, termasuk negara anggota EU, negara rakan, organisasi antarabangsa dan institusi kewangan, bagi menyelaraskan sokongan terhadap usaha pemulihan awal di Gaza serta membincangkan kemajuan agenda pembaharuan Pihak Berkuasa Palestin.
"Inisiatif Pasukan Gaza" menghimpunkan sumbangan daripada Suruhanjaya Eropah, Bank Pelaburan Eropah, Bank Dunia serta kerajaan Sepanyol, Denmark, United Kingdom (UK), Jerman, Norway, Finland, Itali, Belanda, Perancis, Jepun, Switzerland, Sweden dan Belgium.
Menurut Suruhanjaya Eropah, Australia dan Kanada turut menyatakan minat untuk menyertai inisiatif itu.
EU memaklumkan inisiatif berkenaan bertujuan menyelaraskan projek pemulihan awal di Gaza selaras dengan Pelan Keamanan Gaza dan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di samping melengkapi usaha antarabangsa yang lebih menyeluruh.
Dana itu akan digunakan bagi menyokong projek memulihkan perkhidmatan asas kepada penduduk awam, termasuk infrastruktur bekalan air dan sanitasi, kerja-kerja pembersihan runtuhan serta sisa pepejal, perkhidmatan kesihatan, sistem tenaga, sektor pertanian dan jaminan bekalan makanan.
Kenyataan itu turut mengetengahkan komitmen kewangan baharu menerusi mekanisme PEGASE EU yang menyalurkan bantuan kepada Pihak Berkuasa Palestin mengikut piawaian ketelusan dan pemantauan.
EU dan beberapa negara Eropah menandatangani perjanjian sumbangan baharu berjumlah €41.7 juta menerusi PEGASE, termasuk sokongan daripada Sepanyol, Denmark, Cyprus, Ireland, Greece, Portugal, Itali, Belanda, Perancis, Switzerland dan Belgium.
Jumlah itu adalah tambahan kepada komitmen €310 juta yang disalurkan Suruhanjaya Eropah menerusi PEGASE bagi tempoh 2026 hingga 2027.
-- BERNAMA-ANADOLU
TAG: EU, Gaza, sumbangan kewangan, Mohammad Mustafa