BEIJING: Hampir 500 delegasi dari 112 negara dan wilayah berhimpun di Beijing bagi menghadiri Sidang Kemuncak Media Dunia (WMS) ketujuh yang bermula Khamis, dengan tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama media antarabangsa serta meneroka impak kecerdasan buatan (AI) terhadap landskap media global.
Sidang kemuncak selama tiga hari yang berlangsung hingga Sabtu itu dianjurkan bersama oleh Agensi Berita Xinhua dan Kerajaan Perbandaran Beijing, bertemakan “Media in the Intelligent Age: From Consensus to Action”.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) diwakili Pengerusinya Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj.
Wong akan mewakili Bernama pada majlis pelancaran Inisiatif Media Global bagi Pembangunan Bersama Piawaian Aplikasi AI pada Sabtu, yang menyaksikan beliau menerima sijil bagi pihak agensi berita itu.
Menurut sekretariat sidang kemuncak, perbincangan bakal tertumpu kepada transformasi media global menerusi AI, dialog dan kerjasama media antarabangsa serta peranan teknologi baharu dalam memperkukuh komunikasi dan pertukaran antara tamadun.
Perbincangan pada sidang kemuncak itu akan tertumpu kepada beberapa topik utama, termasuk “AI for All and the Transformation of Global Media”, “Media Dialogue and Cooperation for a Safer World” serta “AI-enabled Communication for Expanding Exchanges Among Civilisations”.
Sidang kemuncak itu membuka tirainya pada Khamis dengan Forum Kecerdasan Buatan dan Pemodenan China yang memberikan tumpuan kepada perkembangan teknologi AI serta penggunaannya dalam industri media.
Antara sorotan utama termasuk pengenalan apa yang disifatkan oleh penganjur sebagai penyampai berita robot humanoid bionik yang pertama di dunia, selain majlis pemeteraian perjanjian bagi Perikatan Industri Kecerdasan Buatan Agensi Berita Xinhua (Pangkalan Beijing).
Forum itu turut menampilkan sesi perbincangan panel bertajuk “Mobile Imaging Innovation and Media Transformation in the AI Era”, yang menghimpunkan pengamal media antarabangsa serta pakar industri bagi meneroka kemajuan teknologi dalam penerbitan berita.
Majlis perasmian sidang kemuncak dijadual berlangsung di Dewan Besar Rakyat pada Sabtu, diikuti sesi pleno dan perbincangan panel termasuk “AI for All and the Transformation of Global Media”, yang menyaksikan Wong dijadual berkongsi pandangan beliau sebagai ahli panel.
Para delegasi juga dijangka menerima pakai Konsensus Beijing yang mengiktiraf kepentingan teknologi AI serta keperluan mewujudkan sistem tadbir urus komunikasi global yang bersesuaian dengan era AI.
Ditubuhkan pada 2009 oleh beberapa organisasi media antarabangsa terkemuka termasuk Agensi Berita Xinhua, The Associated Press, Reuters, Agensi Berita Rusia TASS dan Kyodo News, WMS menjadi platform bagi pertukaran pandangan dan penyelarasan peringkat tinggi dalam kalangan pihak berkepentingan industri media global.
Selain sesi perbincangan, para delegasi turut dijadual melawat beberapa lokasi kebudayaan di Beijing bagi mengenali dengan lebih dekat warisan tradisi dan pembangunan moden ibu negara China itu.
-- BERNAMA