NEW YORK: Dua individu termasuk suspek maut dalam kejadian tembakan di kompleks pejabat Citibank di Tampa, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, lapor Xinhua yang memetik polis.
Pejabat Syerif Daerah Hillsborough (HCSO) menerusi hantaran di platform X memaklumkan bahawa seramai 367 anggotanya dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memeriksa bangunan berkenaan dan memastikan kawasan kejadian selamat.
Pihak berkuasa percaya kejadian tembakan itu merupakan "serangan yang disasarkan".
Ketua Timbalan Syerif HCSO Frank Losat dalam sidang media berkata sekurang-kurangnya empat individu lain menerima rawatan di sebuah hospital tempatan akibat kecederaan yang tidak mengancam nyawa.
Menurutnya, suspek yang bersenjatakan raifal bertindak memandu kenderaannya merempuh kawasan berpagar bangunan itu sebelum melanggar ruang makan terbuka ketika beberapa individu sedang menikmati makan tengah hari.
Seorang pengawal keselamatan Citibank kemudian berdepan dengan suspek sebelum melepaskan tembakan ke arahnya, kata Losat.
Kira-kira 3,200 pekerja Citibank bertugas di Citibank Centre di Brandon, pinggir bandar Tampa, manakala polis mengambil masa lebih dua jam untuk memeriksa dan memastikan lokasi kejadian selamat.
Polis masih menjalankan siasatan dengan menemu bual saksi kejadian.
-- BERNAMA-XINHUA