EU siasat Google berhubung layanan terhadap laman media dalam talian

Suruhanjaya Eropah bimbang dasar Google tidak membolehkan penerbit berita dilayan secara adil, munasabah dan tidak diskriminatori dalam hasil carian. - Gambar fail Reuters
BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Khamis mengumumkan memulakan siasatan sama ada Google bertindak menjejaskan secara tidak sah kedudukan media dan penerbit berita dalam hasil carian, lapor agensi berita Jerman dpa.
Badan eksekutif EU itu berkata, siasatan dimulakan bagi menilai sama ada syarikat gergasi teknologi AS berkenaan melaksanakan "syarat yang adil, munasabah dan tidak diskriminatori" terhadap laman penerbit dalam enjin carian Google, seperti yang dikehendaki di bawah Akta Pasaran Digital (DMA).
Kes itu berkaitan dasar Google bahawa kandungan daripada penerbit boleh diturunkan kedudukannya dalam hasil carian sekiranya laman web mereka mengandungi kandungan komersial tertentu daripada pihak ketiga.
Siasatan itu akan meneliti sama ada tindakan berkenaan mengehadkan keupayaan penerbit "untuk menjalankan perniagaan yang sah, berinovasi dan bekerjasama dengan penyedia kandungan pihak ketiga," menurut kenyataan suruhanjaya tersebut.
"Kami bimbang dasar Google tidak membolehkan penerbit berita dilayan secara adil, munasabah dan tidak diskriminatori dalam hasil carian mereka," kata Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Teresa Ribera dalam satu kenyataan.
"Kami akan menjalankan siasatan bagi memastikan penerbit berita tidak kehilangan sumber pendapatan penting pada masa sukar bagi industri ini, serta memastikan Google mematuhi Akta Pasaran Digital," katanya.
Suruhanjaya itu menegaskan bahawa tindakan siasatan yang diambil tidak bermaksud terdapat sebarang kesalahan dan menyasarkan untuk menyelesaikan siasatan itu dalam tempoh 12 bulan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


