AYUTTHAYA: Fasa pertama projek kereta api laju Thai–China kini mencapai 51.74% kemajuan, menurut Pemangku Gabenor State Railway of Thailand (SRT), Anan Phonimdaeng, ketika lawatan Jawatankuasa Senat bagi Pengangkutan ke Stesen Chiang Rak Noi.
Beliau berkata dua kontrak bagi jajaran Klang Dong–Pang Asok dan Sikhiu–Kut Chik telah disiapkan, 10 kontrak lagi sedang dilaksanakan, manakala dua kontrak — Bang Sue–Don Mueang dan Ban Pho–Phra Kaeo — masih belum ditandatangani.
Advertisement
Fasa pertama bernilai 179.41 bilion baht itu meliputi 14 kontrak pembinaan dan satu kontrak sistem, kira-kira RM22.5 bilion pada kadar semasa.
Laluan sepanjang 250.77 kilometer dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima itu merangkumi enam stesen utama: Krung Thep Aphiwat, Don Mueang, Ayutthaya, Saraburi, Pak Chong dan Nakhon Ratchasima.
Sebahagian besar laluan (sekitar 188.68km) akan dibina bertingkat sebagai langkah keselamatan dan pengurangan persimpangan aras, manakala lebih 54km berada di aras tanah.
Dua terowong di Muak Lek dan Lam Takhong akan meliputi jarak keseluruhan kira-kira 8 kilometer.
Projek disasar mula operasi secara komersial pada 2030.
Bagi Fasa 2 dari Nakhon Ratchasima ke Nong Khai sepanjang 357.12km dengan kos 256.4 bilion baht, projek berkenaan telah diluluskan kabinet dan melepasi EIA.
Proses tender dan pemeteraian kontrak dijangka berlangsung tahun ini, dengan tempoh pembinaan selama 48 bulan dan operasi disasarkan bermula 2031.
Stesen yang terlibat ialah Bua Yai Junction, Ban Phai, Khon Kaen, Udon Thani dan Nong Khai.