MUNICH: Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berharap agar perjanjian damai antara Baku dan Yerevan dapat dimeterai tahun ini, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).
Beliau membuat kenyataan itu semasa sesi perbincangan panel pada Persidangan Keselamatan Munich.
Advertisement
“Saya berharap kita akan menandatangani perjanjian damai tahun ini,” kata Aliyev sambil merujuk situasi baharu di sempadan dari Ogos 2025 hingga kini yang menyaksikan tiada insiden tembakan, mangsa terkorban, kecederaan dan tiada sebarang masalah.
Beliau menambah bahawa Azerbaijan sedang bergerak ke arah kerjasama dengan Armenia, bermula dengan penarikan sekatan terhadap pengangkutan kargo melalui Azerbaijan.
“Kami berterima kasih kepada rakan-rakan kami di Georgia kerana menyediakan laluan transit yang amat penting selepas barangan tiba di Azerbaijan dan kemudian dihantar ke Armenia melalui Georgia. Kami juga telah memulakan bekalan produk petroleum ke Armenia, sekali gus secara berkesan memulakan perdagangan dua hala,” kata presiden Azerbaijan itu.
Rundingan antara Baku dan Yerevan menunjukkan kemajuan susulan mesyuarat yang diadakan pada 8 Ogos 2025 yang mempertemukan Presiden Azerbaijan dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Rundingan itu menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama dengan Washington dan pihak ketiga bagi mewujudkan laluan yang dinamakan “Trump Route for International Peace and Prosperity (TRIPP)”, yang merangkumi pembukaan laluan pengangkutan antara tanah besar Azerbaijan dan Republik Autonomi Nakhchivan melalui wilayah Armenia.
-- BERNAMA-QNA