KUALA LUMPUR: Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS) sedang mempergiat kerjasama dengan agensi penguat kuasa di Asia Tenggara bagi menumpaskan pusat penipuan berskala industri dan sindiket jenayah terancang rentas negara yang beroperasi di rantau ini.
Timbalan Pengarah Bersama FBI Andrew Bailey berkata pusat penipuan di Asia Tenggara telah berkembang menjadi perusahaan jenayah yang sangat terancang, mencuri berbilion dolar, mengeksploitasi mata wang kripto dan terlibat dalam pemerdagangan manusia.
“Perusahaan ini ialah sindiket jenayah yang sangat terancang dan menjalankan operasi penipuan berskala industri di seluruh dunia,” katanya dalam sidang media maya dari Bangkok, Thailand.
Bailey berkata banyak operasi itu dikawal organisasi jenayah canggih dari China dan beroperasi di seluruh Asia Tenggara.
“Kami menemukan hubungan jelas antara perusahaan jenayah China dan pusat penipuan di seluruh Asia Tenggara serta di luar rantau ini, dan ketika ini kami menilai kumpulan terbabit bermotifkan keuntungan kewangan,” katanya.
Bailey berkata sindiket itu memindahkan manusia, wang, teknologi dan hasil kegiatan haram merentasi rantau ini termasuk Thailand, Myanmar, Laos dan Kemboja, sambil mengambil kesempatan terhadap kelemahan tadbir urus, rasuah dan teknologi baharu.
Beliau berkata FBI menggunakan pendekatan strategik berasaskan risikan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pusat penipuan individu, tetapi juga keseluruhan ekosistem jenayah di sebaliknya.
Ini termasuk pembangun aplikasi yang mencipta perisian untuk menipu mangsa, perekrut yang memperdaya pekerja dengan tawaran palsu, serta rangkaian yang memerangkap pekerja dalam belenggu hutang.
Bailey turut mengakui ramai pekerja bawahan di pusat penipuan sebenarnya mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa menipu orang lain.
“FBI memahami bahawa ramai pekerja di peringkat operasi pusat penipuan ialah mangsa pemerdagangan manusia yang dipaksa melakukan penipuan terhadap orang lain,” katanya.
Beliau berkata FBI bekerjasama menerusi Scam Centre Strike Force untuk menyasarkan pengendali pusat penipuan dan pihak yang membantu mereka, termasuk operasi berkaitan pusat penipuan Thai Chang di Myanmar.
Beliau berkata biro itu baru-baru ini merampas laman sesawang berbahaya yang digunakan pusat itu untuk menipu mangsa dan memperoleh semula kira-kira AS$30 juta dalam mata wang kripto daripada perusahaan jenayah yang berkaitan dengannya.
Bailey berkata pejabat atase undang-undang FBI di Bangkok bekerjasama rapat dengan Pusat Antipenipuan Siber Polis Diraja Thailand untuk mengenal pasti, mengganggu dan menumpaskan pusat penipuan di Myanmar, Kemboja, Laos dan Vietnam.
Beliau menyifatkan Thailand sebagai rakan keselamatan penting dan hab serantau bagi kerjasama penguatkuasaan undang-undang di Asia Tenggara, dengan pihak berkuasa Thailand menyelia penahanan tujuh individu semasa operasi gangguan baru-baru ini selain membuka beberapa siasatan baharu.
Sementara itu di Singapura, beliau berkata pejabat atase undang-undang FBI menjadi satu-satunya wakil penguat kuasa AS yang menyertai operasi Frontier Plus yang diketuai Polis Singapura pada Mei 2026, platform yang melibatkan agensi antipenipuan dari 11 bidang kuasa.
Beliau berkata platform itu menyokong perkongsian risikan masa nyata, operasi bersama dan penguatkuasaan terselaras terhadap kumpulan rentas negara dan pusat penipuan kewangan.
Bailey berkata pusat penipuan, ekstremisme ganas dan pemerdagangan narkotik rentas negara antara ancaman utama yang dihadapi rantau ini serta dunia ketika ini.
“Ancaman ini bersifat global dan penjenayah amat kejam, namun kerjasama kami di seluruh Asia Tenggara kekal utuh,” katanya.
Beliau berkata FBI turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Membanteras Penipuan Dalam Talian Kemboja, Suruhanjaya Pencegahan Jenayah Terancang Presiden Filipina, Biro Imigresen, Biro Siasatan Kebangsaan, Polis Kebangsaan Filipina dan Jabatan Kehakiman Filipina.
-- BERNAMA