Skip to main content
Advertisement

Dunia

25 maut, 44 cedera dalam kemalangan bas di Algeria

kemalangan
Sebuah bas penumpang yang dalam perjalanan di timur Algeria terlibat dalam kemalangan, mengakibatkan 25 maut dan 44 yang lain cedera. - Gambar fail/hiasan
Advertisement

ALGIERS: Sebuah bas penumpang yang dalam perjalanan di timur Algeria terlibat dalam kemalangan, mengakibatkan 25 maut dan 44 yang lain cedera, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik angka terkini yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Perlindungan Awam pada Jumaat.

Jumlah mangsa terus meningkat sepanjang hari berbanding laporan awal yang mencatatkan 11 kematian dan 38 lagi cedera, menurut data berkenaan.

Presiden Algeria Abdelmadjid Tebboune mengisytiharkan negara itu berkabung selama tiga hari dan mengumumkan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati bertanggungjawab.

Pihak Berkuasa Perlindungan Awam memaklumkan pasukannya masih meneruskan operasi menyelamat dan pemindahan di lokasi kejadian, manakala mangsa yang cedera dihantar ke hospital. Pihak berkuasa berkata jumlah korban itu masih bersifat sementara dan berpotensi meningkat seiring operasi menyelamat yang sedang dijalankan.

Timbalan Pengarah Maklumat dan Kesedaran Perlindungan Awam Algeria, Nassim Bernawi memberitahu dpa bahawa bas berkenaan terbabas dari laluan sebelum terjerumus ke bawah cerun di Wilayah Boumerdes, yang bersempadan dengan Wilayah Algiers di sebelah timur dan terletak kira-kira 50 kilometer dari ibu negara, Algiers.

Pasukan penyelamat meneruskan operasi mencari, menyelamat dan memindahkan mangsa di tempat kejadian serta membawa mereka yang cedera ke hospital berhampiran, kata Bernawi.

Bas itu dalam perjalanan dari wilayah Setif, kira-kira 166 kilometer di timur Boumerdes, apabila ia terbabas di jalan pintas di kawasan Rahmoun El Karma dalam Perbandaran Boumerdes.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video

Advertisement