Skip to main content
Advertisement

Dunia

FBI siasat dakwaan kecurian data kakitangan oleh penggodam

FILE PHOTO: A tour bus drives past the FBI headquarters, days after the Trump administration launched a sweeping round of cuts at the Justice Department, in Washington, U.S., February 3, 2025. REUTERS/Kevin Lamarque/File Photo
Ibu pejabat FBI di Washington, AS. - Foto REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat dakwaan bahawa sebuah kumpulan siber berjaya mencuri data sensitif melibatkan puluhan ribu kakitangannya selepas kumpulan penggodam itu mengaku memperoleh maklumat peribadi anggota agensi berkenaan.

Kumpulan dikenali sebagai ShinyHunters mendakwa memiliki data kira-kira 38,000 kakitangan FBI, termasuk individu yang pernah memohon untuk menyertai agensi penguatkuasaan itu.

Mereka mendakwa memperoleh nama, jawatan, nombor lencana serta maklumat peribadi seperti alamat rumah, nombor telefon dan butiran pasangan kakitangan terbabit.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform X, FBI memaklumkan pihaknya menyedari dakwaan berkenaan dan sedang menjalankan siasatan secara aktif dan menyeluruh.

FBI juga sedang bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang menyokong portal pengambilan pekerjanya bagi mengurangkan sebarang risiko keselamatan.

 

 

Menurut laporan media, sebahagian data yang didakwa dicuri mengandungi maklumat mengenai tugasan pegawai FBI, termasuk operasi sensitif membabitkan pengintipan China, risikan Rusia dan kartel dadah.

ShinyHunters, yang dikaitkan dengan beberapa serangan siber berprofil tinggi sebelum ini, mendakwa mereka mengeksploitasi kelemahan dalam sistem storan awan Oracle yang digunakan FBI bagi mengakses beberapa pangkalan data, termasuk sistem pengambilan pekerja, semakan latar belakang dan rekod perubatan kakitangan.

Bagaimanapun, kumpulan itu mendakwa serangan tersebut bukan bermotifkan kewangan.

Sebaliknya, mereka menuntut FBI menarik balik atau meminda amaran keselamatan yang pernah dikeluarkan agensi itu mengenai kegiatan kumpulan berkenaan, yang disifatkan sebagai "pelaku ancaman" yang sering menggunakan dakwaan akses kepada maklumat sensitif untuk memeras mangsa.

Penggodam berkenaan turut mengancam untuk mendedahkan keseluruhan pangkalan data yang didakwa dicuri sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi dalam tempoh seminggu.

Setakat ini, FBI belum mengesahkan sama ada sistem dalaman agensi itu benar-benar digodam atau kebocoran tersebut berlaku melalui pembekal perkhidmatan pihak ketiga.

Pakar keselamatan siber menyifatkan insiden itu sebagai serangan balas yang menunjukkan tiada organisasi yang kebal daripada ancaman kumpulan penggodam berkenaan.

 

Must Watch Video

Advertisement