Skip to main content

Dunia

Mahkamah PBB putuskan Myanmar lakukan genosid terhadap Rohingya

Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam pada 2017, menandakan kali pertama mahkamah itu memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid. - Foto REUTERS/Piroschka van de Wouw
Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam pada 2017, menandakan kali pertama mahkamah itu memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid. - Foto REUTERS/Piroschka van de Wouw
Advertisement

GENEVA: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam pada 2017, menandakan kali pertama mahkamah itu memutuskan sesebuah negara bertanggungjawab melakukan genosid, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid semasa operasi ketenteraan di utara Negeri Rakhine menerusi keputusan undian 9-6.

Ketika membacakan penghakiman, Presiden ICJ Hakim Yuji Iwasawa berkata Myanmar "telah melakukan genosid terhadap kumpulan etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid."

Advertisement

"Mahkamah mendapati pasukan keselamatan Myanmar membunuh ribuan orang awam Rohingya, melakukan keganasan seksual secara berleluasa serta tindakan keganasan melampau terhadap kanak-kanak, selain menyerang etnik Rohingya yang melarikan diri ketika mereka berusaha menyelamatkan diri secara beramai-ramai ke Bangladesh," menurut mahkamah itu.

Panel hakim mendapati pasukan keselamatan Myanmar melakukan perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid dengan "niat untuk memusnahkan sebahagian besar populasi Rohingya di Myanmar."

Advertisement

Mahkamah merumuskan bahawa skala dan kaedah keganasan itu melangkaui keperluan ketenteraan serta mencerminkan "niat untuk memusnahkan sebahagian besar kumpulan etnik berkenaan."

Dalam satu lagi keputusan undian 9-6 yang berasingan, mahkamah mendapati Myanmar melanggar kewajipannya untuk mencegah genosid yang dilakukan oleh orang awam yang bertindak bersama-sama pasukan keselamatannya.

Mahkamah turut mendapati Myanmar gagal memenuhi kewajipannya untuk menghukum pelaku genosid.

Mahkamah mengarahkan Myanmar mengambil "langkah segera dan berkesan" untuk menyiasat individu yang disyaki melakukan jenayah itu serta memudah cara "kepulangan yang selamat, secara sukarela dan bermaruah" bagi etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal.

Menurut penghakiman itu, Myanmar juga perlu memulangkan atau menggantikan harta benda etnik Rohingya yang hilang atau rosak serta menyediakan pemulihan fizikal dan psikologi kepada mereka yang cedera.

Keputusan itu turut mewajibkan Myanmar membayar pampasan kepada mangsa Rohingya bagi kerugian yang tidak dapat dipulihkan melalui pemulangan harta benda atau pemulihan keadaan asal.

Mahkamah memberikan tempoh dua tahun kepada Myanmar untuk melaporkan langkah pemulihan yang diambil, manakala pengaturan pembayaran pampasan akan ditentukan dalam prosiding susulan.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement