SUVA: Industri pelancongan Fiji memperkenalkan peralatan khusus bagi memudahkan pelawat yang berdepan cabaran mobiliti menikmati pantai dan aktiviti laut di negara itu, lapor Xinhua.
Pengarah Urusan Rosie Travel Group Tony Whitton berkata industri itu kini menyediakan tikar akses pantai khusus dan kerusi roda gentian karbon yang boleh digunakan di laut, menurut laporan laman sesawang Fiji Broadcasting Corporation pada Khamis.
Whitton berkata peralatan itu membolehkan individu yang berdepan cabaran mobiliti mengunjungi destinasi seperti beting pasir Mamanuca dan menyertai aktiviti laut.
βSegmen kebolehcapaian dan mobiliti ini sama pentingnya dengan segmen pelancongan lain dan ia perlu diberikan perkhidmatan dengan penuh keprihatinan dan penghormatan,β katanya.
Inisiatif itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas sektor pelancongan Fiji untuk meningkatkan pengalaman pelancong kurang upaya serta menjadikan tarikan semula jadi negara itu lebih mudah diakses oleh semua.
Akses yang lebih baik ke pantai dan aktiviti marin boleh membolehkan lebih ramai pelawat kurang upaya menikmati aktiviti yang menjadi tarikan utama pelancongan Fiji, selain menggalakkan pengusaha pelancongan mengambil kira aspek kebolehcapaian dalam mereka bentuk dan menyediakan perkhidmatan, menurut laporan itu.
-- BERNAMA-XINHUA