ISTANBUL: Kerajaan Myanmar yang disokong tentera pada Jumaat menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memutuskan negara itu bertanggungjawab melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam, dengan menyifatkannya sebagai "tidak adil" dan "tidak sebulat suara", lapor Anadolu Ajansi yang memetik laporan akhbar tempatan.
Jurucakap Presiden Min Aung Hlaing, Khaing Khaing Soe berkata kerajaan memerlukan masa untuk meneliti keputusan itu, menurut portal berita Myanmar Now.
"Bukan semua 15 hakim bersetuju. Sembilan bersetuju dengan keputusan ini. Enam tidak bersetuju. Jadi, ini bukan keputusan sebulat suara. Saya berpendapat ia tidak adil," katanya.
Ketika memberikan respons terhadap penghakiman itu, Soe turut merujuk kepada pendirian Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, Presiden China Xi Jinping dan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai institusi kehakiman antarabangsa.
Mahkamah arah Myanmar bayar pampasan kepada mangsa Rohingya
ICJ pada Khamis memutuskan bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam semasa operasi ketenteraannya pada 2017 di utara Negeri Rakhine.
Mahkamah itu mengarahkan Myanmar memberikan pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah bagi mencegah pelanggaran selanjutnya.
Kes berkenaan dibawa oleh Gambia, sebuah negara di Afrika Barat, pada 2019.
Keputusan itu disifatkan sebagai bersejarah kerana buat pertama kali sesebuah negara diputuskan bertanggungjawab secara langsung melakukan genosid.
Keputusan berkenaan turut mendapat sambutan meluas daripada masyarakat antarabangsa.
Min Aung Hlaing merupakan Panglima Angkatan Tentera Myanmar, yang dikenali sebagai Tatmadaw, ketika melancarkan operasi ketenteraan terhadap etnik Rohingya beragama Islam di utara Negeri Rakhine pada 2017.
Operasi ketenteraan itu mengorbankan ribuan etnik Rohingya dan menyebabkan lebih sejuta orang melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh.
-- BERNAMA-ANADOLU