MANILA: Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Jumaat menandatangani undang-undang yang meminda Akta Akses Sejagat kepada Pendidikan Tinggi Berkualiti (UAQTE) sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan meluaskan akses kepada pendidikan tinggi berkualiti dan mampu milik bagi pelajar Filipina.
Agensi Berita Filipina (PNA) melaporkan, Marcos menandatangani Akta Republik (RA) 12325 atau Akta Memperkasakan UAQTE, dalam satu majlis di Istana Malacañan di Manila.
Presiden itu berkata, undang-undang baharu tersebut menekankan komitmen pentadbirannya dalam menjadikan pendidikan tinggi lebih mudah diakses oleh pelajar yang menghadapi kekangan kewangan untuk melanjutkan pelajaran, termasuk penerima manfaat Program Pantawid Pamilyang Pilipino (4Ps).
"Undang-undang asal menjadikan yuran pengajian dan yuran sekolah lain percuma di institusi pendidikan tinggi awam serta institusi teknikal-vokasional kendalian kerajaan, di samping menyediakan bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan menerusi Subsidi Pendidikan Tinggi (TES)," katanya.
"Hari ini, kami melangkah lebih jauh lagi. Pindaan ini memastikan bantuan kerajaan sampai kepada mereka yang paling memerlukannya, terutamanya pelajar daripada keluarga miskin dan kurang bernasib baik, termasuk penerima manfaat 4Ps yang layak."
Pindaan bertujuan menambah baik pelaksanaan program pendidikan tinggi percuma negara itu serta memberikan sokongan lebih besar kepada pelajar layak yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.
Undang-undang baharu itu mewajibkan semua universiti dan kolej negeri (SUC), universiti dan kolej tempatan (LUC), serta institusi teknikal-vokasional kendalian kerajaan (TVI) untuk melaksanakan Pelan Ekuiti dan Keterangkuman bagi menyokong pelajar daripada latar belakang kurang bernasib baik melalui langkah-langkah bersasar, seperti pengecualian yuran dan akses keutamaan kepada kemudahan.
Pindaan dasar utama yang lain termasuk meluaskan skop TES, mewujudkan bantuan pendidikan swasta, melaraskan geran secara berkala serta mempertingkatkan pemantauan akauntabiliti.
-- BERNAMA-PNA