Skip to main content

Teknologi

Festival Idea Putrajaya: Poli Seberang Prai bangunkan inovasi pengupas, pengisar kacang tanah pintar dengan AI

Inovasi dikenali sebagai Sistem Pengupasan dan Pengisaran Kacang Tanah Pintar Berbantukan Penglihatan Komputer untuk Pemprosesan Makanan itu dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan, khususnya dalam industri makanan yang masih bergantung kepada kaedah konvensional.
Inovasi dikenali sebagai Sistem Pengupasan dan Pengisaran Kacang Tanah Pintar Berbantukan Penglihatan Komputer untuk Pemprosesan Makanan itu dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan, khususnya dalam industri makanan yang masih bergantung kepada kaedah konvensional.
Advertisement

PERMATANG PAUH: Proses mengupas dan mengisar kacang tanah yang lazimnya dilakukan secara manual kini berpotensi dipermudah menerusi pembangunan sistem pemprosesan makanan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) oleh penyelidik Politeknik Seberang Perai (PSP), Pulau Pinang.

Inovasi dikenali sebagai Sistem Pengupasan dan Pengisaran Kacang Tanah Pintar Berbantukan Penglihatan Komputer untuk Pemprosesan Makanan itu dibangunkan bagi meningkatkan kecekapan pemprosesan, khususnya dalam industri makanan yang masih bergantung kepada kaedah konvensional.

Image
INOVASI POLI



Ketua penyelidiknya, Zulkiffli Bakar, berkata pembangunan sistem itu mengambil kira beberapa kekangan dalam proses pengupasan kacang tanah secara manual, termasuk penggunaan tenaga kerja yang tinggi, tempoh pemprosesan yang panjang serta hasil pengupasan yang tidak konsisten.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSP itu berkata, menerusi sistem berkenaan, proses pengupasan dan pengisaran disepadukan dalam satu platform automatik yang menggabungkan komponen mekanikal dengan teknologi penglihatan komputer bagi mengurangkan kebergantungan kepada tenaga manusia.

"Antara komponen utama digunakan ialah corong pemasukan bahan atau hopper, mekanisme pengupas berputar berasaskan permukaan abrasif (rotary abrasive peeler), kamera, komputer mini Raspberry Pi serta sistem antara muka manusia-mesin (HMI) bagi memudahkan pemantauan operasi.

"Lebih menarik, sistem itu turut dilengkapi teknologi penglihatan komputer yang menggunakan algoritma YOLOv8 bagi menganalisis imej dan membantu proses pemeriksaan visual kacang tanah sepanjang operasi pengupasan.

Image
INOVASI POLI



"Penggunaan teknologi berkenaan membolehkan sistem membuat penilaian berdasarkan imej yang ditangkap kamera, sekali gus membantu memastikan proses pengupasan dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik dan mengurangkan ketidakkonsistenan hasil," katanya kepada Astro AWANI, baru-baru ini.

Dari segi prestasi, beliau berkata, sistem itu merekodkan kadar keberkesanan pengupasan sekitar 90 hingga 95 peratus, manakala ketepatan pengesanan menerusi teknologi penglihatan komputer pula melebihi 90 peratus.

Jelasnya, dalam satu ujian menggunakan sampel kacang tanah seberat 1,000 gram, sistem berkenaan berjaya menghasilkan kira-kira 935 gram kacang tanah yang dikupas sepenuhnya, sekali gus menunjukkan potensinya untuk digunakan dalam pemprosesan makanan.

"Selain meningkatkan kecekapan pengupasan, integrasi mekanisme pengisaran turut membolehkan proses seterusnya dilakukan dalam sistem yang sama tanpa memerlukan terlalu banyak pengendalian secara berasingan.

Advertisement
Image
INOVASI POLI



"Aspek kebersihan dan penyelenggaraan turut diberikan perhatian apabila reka bentuk sistem itu menyasarkan pengurangan masa pembersihan sehingga 40 peratus, sekali gus berpotensi meningkatkan produktiviti operasi pemprosesan makanan.

"Pembangunan inovasi berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif T-AIGS, dengan pendekatan menggabungkan kepakaran kejuruteraan mekanikal dan teknologi AI bagi menghasilkan penyelesaian praktikal terhadap keperluan industri makanan," ujarnya.

Image
INOVASI POLI



Inovasi itu memperlihatkan bagaimana teknologi AI bukan sekadar dimanfaatkan dalam sektor digital, malah mampu diterjemahkan kepada penyelesaian berasaskan perkakasan yang dapat membantu mempercepat proses pengeluaran, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja manual serta meningkatkan kualiti pemprosesan makanan.

Ini sekaligus bersesuaian dengan aspirasi Festival Idea Putrajaya 2026 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 November ini di Putrajaya International Convention Centre (PICC) serta mengangkat martabat politeknik di seluruh negara dengan penghasilan inovasi yang berpaksikan rakyat.

Image
INOVASI POLI

Must Watch Video

Advertisement