Skip to main content

Dunia

Finland buka fasiliti simpanan sisa nuklear bawah tanah pertama dunia

https://amanz.my/2026567617
Fasiliti yang disifatkan sebagai antara struktur dengan jangka hayat paling lama pernah dibina manusia itu menelan kos pembinaan mencecah €1 bilion (kira-kira RM4.35 bilion), dengan projek berkenaan dimulakan sejak 2004. -Foto Amanz

HELSINKI: Fasiliti repositori geologi dalam pertama di dunia bagi penyimpanan sisa bahan api nuklear, Onkalo, kini sedia beroperasi di Eurajoki, barat daya Finland, lapor Amanz.

Pembukaan tapak simpanan kekal bawah tanah yang dibina dalam batuan dasar sedalam 437 meter itu membolehkan sisa radioaktif disimpan dengan selamat untuk tempoh sehingga 100,000 tahun.

Fasiliti yang disifatkan sebagai antara struktur dengan jangka hayat paling lama pernah dibina manusia itu menelan kos pembinaan mencecah €1 bilion (kira-kira RM4.35 bilion), dengan projek berkenaan dimulakan sejak 2004.

Pihak Berkuasa Keselamatan Nuklear dan Radiasi Finland (STUK) dijangka mengeluarkan penilaian akhir keselamatan tapak tersebut menjelang penghujung Jun ini.

Sekiranya mendapat kelulusan rasmi, Onkalo dijangka mula menerima bahan api nuklear terpakai secara komersial pada akhir tahun ini atau awal 2027, dan dijadual beroperasi sehingga 2100.

Keperluan terhadap pembinaan stor simpanan kekal berskala besar ini kritikal memandangkan bahan api reaktor stesen janakuasa nuklear perlu diganti setiap 18 hingga 24 bulan.

Kaedah penyimpanan sementara dalam bekas khas sedia ada hanya mampu bertahan sekitar 100 tahun, sedangkan tahap radiasi selamat bagi sisa nuklear hanya dicapai selepas tempoh melebihi 1,000 tahun.

Secara keseluruhan, Onkalo mempunyai kapasiti untuk menampung sehingga 6,500 tan sisa bahan api terpakai yang dikumpul daripada lima reaktor nuklear komersial di Finland.

Dari segi proses penyimpanan, sisa radioaktif akan dimasukkan ke dalam bekas kuprum khas tahan kakisan sebelum ditanam dalam lubang sedalam lapan meter yang dikorek pada batuan dasar.

Lubang itu kemudian dikambus dengan tanah liat bentonit bagi menghalang aliran cecair serta mengurangkan risiko kebocoran radiasi ke persekitaran.

Bagi menjamin keselamatan maksimum, keseluruhan proses pemindahan bahan api dari permukaan ke terowong bawah tanah dikendalikan menggunakan sistem automatik termasuk lif dan kenderaan kawalan jauh, sebelum rangkaian terowong itu ditutup secara kekal dengan lapisan konkrit tebal.

Must Watch Video

Advertisement