TULAR di laman sosial apabila sekeping gambar yang mempamerkan seorang penunjuk perasaan di Gaza yang memegang bendera Palestin sambil menghayun lastik dikatakan mirip dengan lukisan ikonik revolusi Perancis, Liberty Leading the People di laman sosial Twitter.

Hal ini berlaku apabila seorang profesor Universiti SOAS, Laleh Khalili, berkongsi foto berkenaan di Twitter pada hari Selasa dengan kapsyen: "Gambar apakah ini? Percubaan ke-13 untuk memecahkan sekatan Gaza”.


Beliau kemudiannya membandingkan gambar tersebut dengan menambah satu lagi gambar iaitu Liberty Leading the People yang dilukis oleh Eugene Delacroix untuk memperingati peristiwa Revolusi Julai 1830 yang menggulingkan Raja Charles X dari Perancis.


Lukisan ikonik itu memaparkan seorang wanita yang melambangkan kebebasan (liberty) sedang memimpin orang ramai sambil memegang Tricolore (bendera Revolusi Perancis) yang kini menjadi bendera rasmi negara Perancis.

Gambar yang ditangkap pada 22 Oktober oleh Mustafa Hassouna dari Agensi Anadolu Turki itu menunjukkan seorang pemuda bernama A'ed Abu Amro, 20, yang kelihatan bersemangat ketika sedang memprotes sekatan Israel.

Menurut Abu Amro, beliau akan menunjuk perasaan setiap Jumaat dan Isnin bersama rakan-rakannya.

“Saya sangat terkejut apabila gambar itu menjadi tular dan saya tidak pernah menyangka ada jurugambar yang sedang menangkap gambar saya sedang menunjuk perasaan,” katanya kepada wartawan.

Selain itu, beliau sering menyertai protes kerana ingin menjaga maruah negaranya dan juga untuk masa depan generasi akan datang.

Tambahnya lagi, beliau membawa bendera itu ke semua protes yang beliau sertai dan ingin membaluti dirinya dengan bendera itu jika beliau mati syahid.

Tweet tersebut juga mendapat respon dari pemain bola sepak terkenal Frederic Kanoute yang kemudian membalas tweet tersebut dengan kapsyen: "Tidakkah ia kelihatan mirip, terutamanya kepada orang Perancis?”

Imej tersebut telah memperoleh lebih 46,000 retweet dan 119,000 likes di laman Twitter.