ISTANBUL: Gabenor bank pusat Turki, Hafize Gaye Erkan mengumumkan peletakan jawatan pada Jumaat kerana dipetik sebagai berkata, mahu melindungi keluarganya di tengah-tengah usaha "pembunuhan reputasi."

Dalam masa sama, berita pengunduran Hafize turut mencetus persoalan mengenai kawalan ketat dasar agresif yang diperjuangkannya selama lapan bulan dalam jawatan itu.

Hafize, wanita pertama yang mengetuai bank pusat negara itu merupakan Gabenor kelima yang meninggalkan jawatan itu dalam beberapa tahun, selepas Presiden Tayyip Erdogan memecat empat daripada mereka yang sebelum ini.

Menteri-menteri Kabinet Turki dalam reaksi segera berkata, program-program ekonomi akan diteruskan selepas peletakan jawatan Hafize.

Hafize dilantik oleh Erdogan pada Jun untuk melaksanakan perubahan daripada polisi kadar rendah yang tidak lazim selama bertahun-tahun yang menyebabkan inflasi melonjak dan pelabur asing meninggalkan negara itu.

Hafize yang juga bekas eksekutif bank Amerika Syarikat berkata: "Program ekonomi kami telah mula membuahkan hasil", memetik rizab asing yang meningkat dan jangkaan bahawa inflasi akan mula reda sekitar pertengahan tahun "sebagai bukti kejayaan ini."

"Walaupun semua perkembangan positif ini, seperti yang diketahui umum, kempen pembunuhan reputasi besar baru-baru ini telah dianjurkan terhadap saya," tambahnya di platform media sosial X.

"Untuk mengelakkan keluarga saya dan anak saya yang tidak berdosa, yang belum berumur satu setengah tahun daripada terus terjejas oleh perkara ini, saya telah meminta Presiden kita untuk mengizinkan pengunduran saya daripada tugas saya."

Menteri Kewangan, Mehmet Simsek menegaskan, peletakan jawatan Hafize merupakan keputusan peribadinya dan program ekonomi akan diteruskan tanpa gangguan.

Sehingga kini, belum jelas siapa yang akan dilantik oleh Erdogan untuk menggantikan Hafize.

Beliau menamakan tiga timbalan gabenor pada bulan Julai yang dilihat penganalisis sebagai pengganti yang berkebolehan.

Bagaimanapun, pejabat Presiden dan bank pusat masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan Hafize.

Bulan lalu, akhbar pembangkang Sozcu menyiarkan artikel mengenai seorang pekerja bank pusat yang mendakwa dia dipecat dengan cara yang tidak betul oleh bapa Hafize.

Mengulas dakwaan itu, Hafize berkata, laporan "tidak berasas" itu menyasarkan dia, keluarganya dan bank adalah "tidak boleh diterima" dan berjanji untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab. - Reuters