Skip to main content

Bisnes

Laluan baharu Bangkok-KL Nok Air perkukuh kesalinghubungan udara

Laluan Baharu Bangkok-KL Nok Air Perkukuh Kesalinghubungan Udara -- Tourism Malaysia
- Facebook Tourism Malaysia

BANGKOK: Perancangan syarikat penerbangan tambang rendah Thailand, Nok Air, untuk melancarkan perkhidmatan penerbangan terus Bangkok-Kuala Lumpur pada Julai ini merupakan langkah strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan udara di tengah-tengah permintaan perjalanan serantau yang kian meningkat, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing .

Beliau berkata cadangan laluan itu bukan sekadar perkhidmatan tambahan, malah ia memperkukuh hubungan perjalanan dua hala selain menyokong aktiviti pelancongan serta perniagaan antara Malaysia dan Thailand.

Advertisement

"Sambungan terus yang lebih cekap akan meningkatkan keselesaan perjalanan, menyokong aliran pelancongan yang lebih kuat dan memudahkan pertukaran perniagaan yang lebih erat antara kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tiong berkata Kuala Lumpur, sebagai pintu masuk antarabangsa utama Malaysia, berada di kedudukan terbaik untuk berfungsi sebagai hab strategik dalam rangkaian penerbangan serantau.

Beliau berkata kerajaan sentiasa terbuka untuk kerjasama lebih mendalam dengan rakan syarikat penerbangan serantau dan mengalu-alukan cadangan berdaya maju secara komersial yang menyokong pertumbuhan pelancongan mampan.

“Kesalinghubungan udara bukan sekadar soal pengangkutan, ia mencorak pergerakan manusia, perbelanjaan pelancongan dan pertukaran ekonomi serantau.

Menerusi kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Nok Air, kami menyasarkan untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam landskap penerbangan serantau sambil menyokong pertumbuhan mampan dalam sektor pelancongan," katanya.

Beliau berkata Tourism Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Nok Air untuk menyokong pelancaran laluan itu dan pembangunan pasaran.

Terdahulu, Tiong mengadakan pertemuan dengan Pichit Satapattayanont serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga pemegang saham Nok Air sekarang, Wutthiphum Jurangkool, bagi membincangkan pengembangan syarikat penerbangan itu ke Malaysia serta usaha lebih luas untuk memperkukuh hubungan udara serantau antara kedua-dua negara.

Pada masa ini, Nok Air mengendalikan rangkaian laluan domestik yang luas dari Bangkok (Don Mueang) ke bandar-bandar utama Thailand seperti Chiang Mai, Phuket, Hat Yai dan Surat Thani.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video