Pihak Berkuasa Piawaian Parlimen Bebas (IPSA) berkata keputusan itu selaras dengan cadangan gaji kerajaan yang lebih luas untuk pekerja sektor awam.
Di bawah Akta Piawaian Parlimen, IPSA dikehendaki mengkaji semula gaji Ahli Parlimen selewat-lewatnya awal Julai dalam tahun pertama Parlimen baharu.
Badan pemantau itu berkata pihaknya akan mengadakan rundingan lanjut mengenai penetapan gaji Ahli Parlimen untuk baki penggal Parlimen semasa dalam beberapa bulan akan datang.
Kenaikan itu menjadikan gaji asas Ahli Parlimen meningkat kepada 93,904 pound berbanding 91,346 pound sebelum ini, dan sedikit di bawah kadar inflasi semasa sebanyak tiga peratus.
Pada permulaan penggal Parlimen terakhir pada 2019, gaji tahunan Ahli Parlimen ialah 79,468 pound.
Ahli Parlimen tidak menentukan gaji mereka sendiri, sebaliknya ia ditetapkan oleh IPSA sejak badan pemantau itu ditubuhkan pada 2009 susulan skandal perbelanjaan.
Pengerusi IPSA Richard Lloyd berkata badan itu berhasrat untuk "membuat keputusan yang adil mengenai gaji, baik untuk Ahli Parlimen mahupun orang awam,' setelah cadangan kenaikan itu pertama kali dicadangkan pada Februari.
Badan pemantau itu bebas daripada Parlimen dan kerajaan serta mempertimbangkan pelbagai kriteria penilaian dalam menentukan gaji, termasuk statistik nasional mengenai purata pendapatan dalam sektor awam dan keadaan ekonomi semasa.
Ia dibuat sebelum pembentangan Penyata Musim Bunga pada Rabu, di mana Menteri Kewangan UK dijangka mengumumkan pemotongan perbelanjaan bagi menyeimbangkan belanjawan negara di tengah-tengah pertumbuhan ekonomi yang mengecewakan dan pinjaman yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Tahun lepas, badan pemantau itu mengesyorkan kenaikan gaji ahli Parlimen sebanyak 5.5 peratus yang melebihi kadar inflasi, menaikkan gaji asas kepada 91,346 pound daripada 86,584 pound.
-- BERNAMA
