DUNIA
Gambar simbolik trio berkuasa 'gegar' Barat

Putin dan Jong-un mengadakan kunjungan ke Beijing sempena ulang tahun ke-80 memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan perarakan tentera di Dataran Tiananmen bertujuan menunjukkan kehebatan senjata canggih China kepada dunia.
PERTEMUAN luar biasa Presiden China, Xi Jinping bersama rakan sejawatannya dari Rusia, Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada Rabu didakwa melambangkan anjakan dalam keseimbangan kuasa global.
Ia sedikit sebanyak menggugat Barat terutamanya Amerika Syarikat (AS) setelah ketiga-tiga pemimpin tersebut antara yang digeruni kuasa besar ketika ini.
Putin dan Jong-un mengadakan kunjungan ke Beijing sempena ulang tahun ke-80 memperingati berakhirnya Perang Dunia Kedua yang menyaksikan perarakan tentera di Dataran Tiananmen bertujuan menunjukkan kehebatan senjata canggih China kepada dunia.
Antara senjata yang dipamerkan ialah misil balistik antara benua (ICBM) baharu, DF-5C dengan jarak jangkauan 20,000 kilometer.Gambar simbolik ketiga-tiga pemimpin itu beriringan di karpet merah dan kelihatan mesra pada acara berkenaan turut meraih perhatian rangkaian media antarabangsa.
Semua pihak kini memberi tumpuan kepada trio itu terutamanya Jong-un yang jarang meninggalkan Pyongyang tanpa diketahui umum.
Menerusi ucapan yang jelas menyindir Barat dan sekutunya, Jinping menegaskan China tidak lagi dapat 'dihalang' dalam landskap geopolitik semasa.
"Tujuan keamanan dan pembangunan manusia akan diutamakan. Umat manusia sekali lagi berdepan pilihan untuk perdamaian atau berperang, dialog atau konfrontasi dan hasil menang-menang atau situasi menang-kalah," ujarnya.
Jinping turut menggesa komuniti antarabangsa supaya menghapuskan punca perang dan menghalang tragedi sejarah daripada berulang.
Imej trio tersebut yang didakwa telah diatur dengan teliti sebagai cubaan memprovokasi Barat itu turut mengundang respons kurang menyenangkan Presiden AS, Donald Trump.
Presiden ke-47 AS itu yang seperti cacing kepanasan menuduh ketiga-tiga pemimpin tersebut berpakat mahu menentang Washington.
Sebelum ini, Trump dengan angkuh menyatakan hubungan tegang antara Beijing, Moscow dan negara lain tidak memberi sebarang ancaman kepada AS di pentas global. - Agensi
Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami