KUALA LUMPUR: Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) menyasarkan untuk menjadi hab inovasi negara yang mampan dengan mewujudkan ekosistem yang mampu menarik inovator, menghubungkan industri dan merangsang aktiviti inovasi yang lebih dinamik.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Ashran Ghazi berkata, usaha itu selari dengan mandat utama agensi berkenaan sebagai pemangkin untuk membantu penyelidik dan inovator menukar idea serta pembangunan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada nilai komersial.
“Kami kini dalam proses memastikan terdapat banyak aktiviti dan kemeriahan di taman inovasi ini, supaya inovator di luar sana akan berasa teruja untuk turut serta dalam ekosistem MRANTI Park,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi MRANTI bersama media di Technology Park Malaysia, pada Rabu.
Menurut Ashran, antara fokus utama MRANTI ketika ini adalah untuk melihat bagaimana aspirasi dan matlamat negara boleh diterjemahkan kepada industri berskala besar, sekali gus memberi impak ekonomi yang lebih luas.
Bagaimanapun, beliau mengakui cabaran utama negara adalah kadar komersialisasi R&D yang masih rendah dan tidak konsisten, dengan banyak hasil penyelidikan gagal menembusi pasaran.
Sehubungan itu, MRANTI menyasarkan kadar komersialisasi berada pada sekitar 10 hingga 20 peratus, selari dengan piawaian global yang lebih realistik.
Dalam tempoh lima tahun, MRANTI merancang untuk menguji model pembangunan tersebut melalui projek perintis, bermula dengan sektor kesihatan sebelum diperluaskan ke kementerian dan sektor lain.
Menurut Ashran, matlamat jangka panjang adalah untuk menjadikan model ini sebagai asas dalam Rancangan Malaysia akan datang, dengan penglibatan lebih besar sektor swasta dalam menangani cabaran negara.
Pendekatan ini dijangka memperkukuh keupayaan Malaysia dalam membina ekosistem inovasi yang mampan, berdaya saing dan berimpak tinggi.