Gelombang kedua wabak koronavirus yang dijangka melanda Amerika Syarikat musim sejuk ini mungkin beri kesan lebih buruk berbanding sekarang.

Menurut Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Robert Redfield, ini kerana ia adalah permulaan musim influenza, lapor Washington Post.

“Ada kemungkinan serangan virus ini ke atas negara kita pada musim sejuk ini akan jadi lebih teruk berbanding yang kita baru lalui,” kata Redfield.

Ketika wabak ini kelihatan semakin reda, sepertimana ditunjukkan daripada data penurunan kadar kemasukan ke wad hospital dan petunjuk lain, pihak berkuasa perlu bersedia untuk kemungkinan peningkatan semula kes jangkitan dalam bulan-bulan mendatang.

“Kita bakal lalui epidemik flu dan koronavirus pada masa sama,” katanya.

Kombinasi itu, menurutnya, akan memberikan tekanan lebih hebat pada sistem penjagaan kesihatan negara itu berbanding gelombang pertama.