Gempa bumi 6.1 skala richter landa wilayah Balikesir, barat Turkiye

Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda daerah Sindirgi di wilayah Balikesir, barat Turkiye lewat malam Isnin.
ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 6.1 pada skala Richter melanda daerah Sindirgi di wilayah Balikesir, barat Turkiye lewat malam Isnin, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD) negara itu.
Menurut AFAD, gempa berlaku pada 10.48 malam waktu tempatan (1948 GMT) pada kedalaman 5.99 kilometer dan turut dirasai di wilayah sekitar termasuk Istanbul.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan menyampaikan ucapan takziah kepada mereka yang terjejas dan memaklumkan bahawa AFAD bersama agensi berkaitan sedang menjalankan pemeriksaan lapangan serta memantau keadaan dengan teliti.
Menteri Dalam Negeri, Ali Yerlikaya memberitahu AA bahawa tiada kematian dilaporkan, namun dua individu cedera ringan akibat panik.
Beliau berkata, pasukan teknikal sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik selepas berlaku gangguan di kawasan terjejas.
Yerlikaya juga memaklumkan, tiga bangunan kosong serta sebuah kedai dua tingkat yang sebelum ini rosak akibat gempa terdahulu telah runtuh, namun menegaskan tiada sesiapa berada di dalam struktur berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


