DUNIA
Gempa bumi Afghanistan: Angka korban melebihi 1,800, operasi mencari diteruskan

Jumlah kematian dan kecederaan telah meningkat kepada lebih 5,000 orang, dengan 1,825 kematian disahkan di kawasan Mazar Darah, Kunar. - Reuters
ISLAMABAD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan gempa bumi kuat di timur Afghanistan pada Ahad masih diteruskan, dengan angka korban setakat ini meningkat kepada lebih 1,800 orang, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
Jurucakap pasukan keselamatan tempatan di Wilayah Kunar, Rahimullah Hamzala, memberitahu agensi berita rasmi Bakhtar bahawa jumlah kematian dan kecederaan telah meningkat kepada lebih 5,000 orang, dengan 1,825 kematian disahkan di kawasan Mazar Darah di wilayah itu.
"Dengan ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan, angka korban mungkin meningkat lagi memandangkan operasi mencari mangsa yang terselamat diteruskan," katanya.
Pihak berkuasa di Kabul juga bimbang angka korban akan terus meningkat apabila data dari wilayah Nangarhar, Laghman dan Panjshir yang turut terjejas gempa, dikumpulkan.Sekurang-kurangnya 12 kematian telah dilaporkan di Nangarhar.
Agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa skala kemusnahan itu memerlukan sokongan antarabangsa segera bagi mengelakkan krisis menjadi lebih buruk.
Turkiye pada minggu ini telah menghantar 25 tan bantuan ke negara itu, termasuk bahan perlindungan yang amat diperlukan, kit kebersihan dan kotak makanan.
Negara jiran seperti Pakistan, Iran, China dan India, serta negara-negara Barat, turut berikrar untuk menghantar bantuan.
Kajian Geologi Amerika Syarikat merekodkan gempa itu pada 11.47 malam waktu tempatan (1917GMT) pada Ahad, 27 kilometer (km) di timur-timur laut Jalalabad pada kedalaman 8 km, ketika kebanyakan penduduk sedang tidur.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami