ROM: Kawasan sekitar Bandar Pisa di tengah Itali digegarkan oleh gempa bumi, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pihak berkuasa tempatan memaklumkan pada Selasa ramai penduduk bergegas keluar ke jalan raya kerana bimbangkan kerosakan besar.
Ratusan panggilan dibuat ke nombor kecemasan 112 susulan gempa bumi yang berlaku pada kira-kira 10.15 pagi (0815 GMT). Setakat ini tiada laporan awal mengenai kecederaan atau kerosakan.
Institut Geofizik dan Volkanologi Kebangsaan Itali (INGV) memaklumkan gempa itu berukuran 4.3 pada skala Richter. Pusat gempa terletak kira-kira tujuh kilometer dari Pisa pada kedalaman lapan kilometer.
Pisa terkenal di seluruh dunia dengan Menara Condong yang berketinggian lebih 50 meter. Laporan awal pihak berkuasa mengesahkan tiada sebarang kerosakan dialami dan monumen berkenaan kekal dibuka kepada pelawat.
Itali terletak di sempadan antara plat tektonik Afrika dan Eurasia, menyebabkan seluruh negara itu kerap dilanda gegaran.
Hujung minggu lepas, gegaran kuat berlaku di Bandar Naples di selatan Itali -- terkuat dalam tempoh empat dekad. Seramai 26 orang cedera dalam gempa bumi berukuran 4.7 pada skala Richter itu.
Satu perarakan bantahan diadakan di Naples pada Selasa dengan penduduk menuntut perlindungan lebih baik daripada kerajaan bagi menghadapi gempa bumi. Slogan seperti "Shame on you" turut kelihatan pada plakad.
-- BERNAMA-dpa