INTERNATIONAL
Gempa bumi Myanmar musnahkan bandar purba

Bandar purba Ava di Wilayah Mandalay alami kerosakan teruk pada pagoda bersejarah dan tapak keagamaan. - www.go-myanmar.com
ISTANBUL: Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Myanmar pada 28 Mac telah memusnahkan bandar purba Ava di Wilayah Mandalay, menyebabkan kerosakan teruk pada pagoda bersejarah dan tapak keagamaan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik laman sesawang Myanmar Now pada Khamis.
Gempa bumi itu turut meragut sekurang-kurangnya 300 nyawa di Tada-U, sebuah bandar di tengah Myanmar kira-kira 10 kilometer dari ibu negeri Mandalay. Penduduk tempatan memaklumkan bahawa masih terdapat mayat yang tertimbus di bawah runtuhan.
"Semua bangunan dan rumah di Tada-U telah musnah akibat gempa bumi," kata seorang penduduk.
Menurut pihak junta, angka korban meningkat kepada 3,085 orang setakat Khamis, dengan 4,719 orang cedera dan 341 lagi dilaporkan hilang, menurut Myanmar Now. Sementara itu, sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh dan 70 lagi hilang di negara jiran Thailand apabila bangunan pencakar langit yang sedang dalam pembinaan runtuh, menurut Perkhidmatan Penyiaran Awam Thai (Thai PBS).Sementara itu, Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Rabu memaklumkan bahawa ia sedang menyediakan geran berjumlah AS$3 juta untuk membantu rakyat Myanmar, menurut laporan Myanmar Now.
Dana itu akan membantu dalam pengagihan makanan dan menyediakan bantuan tunai pelbagai guna, membolehkan mangsa terselamat membeli keperluan seperti air minuman, bekalan perubatan dan bahan untuk tempat perlindungan.
United Kingdom (UK) telah menjanjikan bantuan sehingga AS$12 juta untuk Myanmar, manakala Australia dan Amerika Syarikat masing-masing menyumbang AS$2 juta. Tabung Kecemasan Pusat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula telah memperuntukkan AS$5 juta.
Pada Rabu, Australia mengumumkan tambahan bantuan berjumlah AS$7 juta, manakala Jepun menyumbang AS$6 juta manakala China telah menyumbang AS$13.8 juta.
Beberapa negara Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura dan Thailand turut menghantar pasukan bantuan.
China pada Khamis mengumumkan bahawa ia telah menubuhkan pusat perlindungan kecemasan pertama di Myanmar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami