KUALA LUMPUR: Pasukan Islamic Relief terpaksa berhadapan dengan cuaca sejuk dalam menjalankan misi bantuan bencana gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, pasukan Islamic Relief merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kemanusiaan pertama yang tiba bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi yang melanda tengah Turkiye dan barat laut Syria, dua hari lalu.

"Sebenarnya beberapa jam selepas gempa berlaku, Islamic Relief Worldwide telah menyalur bantuan serta merta dengan dana sebanyak 500,000 pound. Islamic Relief Worldwide adalah salah satu NGO terawal berada di situ kerana kita memang ada pasukan di Turkiye dan Syria.

"Di samping itu Islamic Relief juga telah melancarkan Tabung Rayuan Kecemasan Global sebanyak RM103 juta bagi menyediakan bantuan kemanusiaan segera kepada penduduk terjejas.

"Kekangan adalah cuaca yang sejuk di kawasan gempa, di samping jalan raya serta komunikasi terputus memberi cabaran kepada para petugas untuk bergerak dengan lebih efektif, " katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Rabu.

Beliau juga memberitahu, Islamic Relief di Turkiye dan Syria sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak kerajaan di sana bagi memastikan misi bantuan dapat dikoordinasi dengan baik dan bantuan kepada mangsa akan sampai pada kadar segera.

Ketika ini, keperluan yang amat mendesak adalah makanan, ubat-ubatan dan barang bukan makanan seperti khemah, tilam, selimut dan baju sejuk.

"Islamic Relief Malaysia telah melancarkan Tabung Rayuan Gempa Bumi, jadi rakyat Malaysia yang mahu menghulurkan bantuan boleh melayari laman web kami untuk maklumat lanjut," katanya lagi.

Gempa Turkiye | Perkembangan misi bantuan kemanusiaan