KUALA LUMPUR: Gempa bumi yang melanda sempadan Turkiye dan Syria dua minggu lepas memusnahkan sebahagian besar kawasan di dua negara itu dengan angka korban direkodkan sehingga kini melebihi 47,000 orang dan ramai yang masih hilang.

Ini diburukkan dengan kemusnahan bangunan, infrastruktur dan harta benda yang mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

Astro AWANI mengemas kini fakta dan data terkini berkaitan tragedi bencana itu dan butirannya seperti berikut:

SATU LAGI GEMPA BUMI MELANDA TURKIYE

1) Satu lagi gempa bumi melanda wilayah selatan Turkiye pada Isnin dengan magnitud 6.4 pada skala ritcher dan ia berpusat berhampiran bandar Antakya yang turut dirasai di Syria, Mesir dan Lubnan.

Menurut Pusat Seismologi Mediterranean Eropah (EMSC), ia melanda pada kedalaman 10 kilometer (km).

GEMPA TERBAHARU TURUT MERAGUT NYAWA

1) Datuk Bandar Hatay, Lutfu Savas memberitahu terdapat beberapa individu yang tersepit di bawah runtuhan selepas gempa terbaharu.

2) Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata, sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh manakala lebih 200 cedera akibat gempa terbaharu itu.

BANTUAN & PEMBINAAN SEMULA BANGUNAN

1) Puluhan negara membantu Turkiye termasuk Malaysia dalam menyumbangkan dana dan bantuan mencari dan menyelamat (SAR).

2) Terbaharu Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken turut berikar komitmen yang sama dengan jumlah bantuan kemanusiaan mencecah AS$185 juta,

3) Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan berkata, sebanyak 385,000 pangsapuri telah musnah di 11 wilayah Turkiye yang dilanda gempa bumi dengan kerja pembinaan semula hampir 200,000 pangsapuri akan dimulakan mulai bulan depan.

4) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merayu lebih daripada AS$1 bilion dana untuk operasi bantuan buat Turkiye dan telah melancarkan rayuan AS$400 juta untuk rakyat Syria.

KESIHATAN AWAM

1) Pakar perubatan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penularan jangkitan di kawasan bangunan runtuh yang menyebabkan infrastruktur sanitasi rosak.

2) Menteri Kesihatan Turkiye, Fahrettin Koca berkata, terdapat peningkatan dalam penyakit jangkitan usus dan saluran pernafasan dalam kalangan mangsa gempa namun ia masih dalam keadaan terkawal.

WANITA HAMIL

1) Menurut agensi kesihatan seksual dan reproduktif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 356,000 wanita hamil memerlukan akses segera perkhidmatan kesihatan.

2) Mereka termasuk 226,000 wanita di Turkiye dan 130,000 di Syria, kira-kira 38,800 daripadanya akan bersalin pada bulan depan.

3) Ramai daripada mereka berteduh di kem atau terdedah kepada suhu sejuk dan bergelut untuk mendapatkan makanan atau air bersih.

BANTUAN SYRIA

1) PBB menyatakan sebanyak 4,525 orang terbunuh dan kebanyakan kematian berlaku di barat laut Syria (kawasan dikawal pemberontak yang berperang dengan pasukan Presiden Bashar Al-Assad).

2) Pegawai Syria berkata, 1,414 orang terbunuh di kawasan di bawah kawalan kerajaan Assad.

3) Badan amal perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF) berkata, konvoi 14 traknya telah memasuki barat laut Syria dari Turki pada Ahad untuk membantu dalam operasi menyelamat.

4) Program Makanan Sedunia juga telah menekan pihak berkuasa di rantau itu untuk berhenti menyekat akses bagi bantuan daripada kawasan yang dikawal kerajaan Syria.

5) Setakat ini, 197 trak yang dimuatkan dengan bantuan kemanusiaan PBB telah memasuki barat laut Syria melalui dua lintasan sempadan.

KEMARAHAN MENINGKAT

1) Kemarahan meningkat dalam keluarga mangsa gempa bumi di Turkiye yang menunggu laporan berhubung saudara-mara mereka yang terjejas.

2) Ini berikutan terdapat dakwaan amalan rasuah dalam pembinaan bangunan dan pembangunan bandar sehingga mengakibatkan ribuan rumah dan bangunan hancur.

3) Turkiye telah berikrar untuk menyiasat sesiapa yang disyaki bertanggungjawab ke atas keruntuhan bangunan dan telah mengarahkan penahanan lebih daripada 100 suspek, termasuk pemaju.