ANKARA: Puluhan ribu penduduk di Turkiye dan Syria kini kehilangan tempat tinggal setelah kediaman mereka ranap dalam gempa bumi kuat di Turki dan Syria pada Isnin.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan beribu-ribu rumah telah musnah dan mangsa yang terselamat terpaksa berlindung di pusat beli-belah, stadium, masjid dan pusat komuniti.

“Beribu-ribu rumah berkemungkinan telah musnah, memisahkan keluarga dan mendedahkan mereka kepada cuaca yang terlalu sejuk di bawah paras beku.

"Ribut salji tebal juga baru-baru ini melanda bahagian Syria dan Türkiye, dengan suhu di bawah sifar diramalkan," kata UNICEF dalam kenyataan itu.

Sekurang-kurangnya 3,830 kematian telah disahkan selepas gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud menggegarkan Turkiye dan Syria awal pagi Isnin.

Di Turkiye sahaja, sekurang-kurangnya 5,606 bangunan runtuh, menurut Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan negara itu.

Terdapat laporan tentang kemusnahan serupa di utara Syria.

"Wujud kemungkinan bangunan hospital dan sekolah serta kemudahan perubatan dan pendidikan lain turut rosak atau musnah," kata UNICEF lagi.

UNICEF memaklumkan sedang bekerjasama dengan kerajaan dan Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye mengenai "keperluan mendesak berhubung tindak balas kemanusiaan yang lebih meluas".

Kenyataan itu turut menambah bahawa ia juga sedang melakukan persediaan menyokong usaha di Syria.

“Kanak-kanak di Syria terus berdepan antara situasi kemanusiaan paling rumit di dunia.

"Krisis ekonomi yang semakin teruk, permusuhan setempat yang berterusan selepas lebih sedekad konflik yang meruncing, pemindahan besar-besaran dan infrastruktur awam yang musnah menyebabkan dua pertiga penduduk memerlukan bantuan.

"Penyakit bawaan air menimbulkan satu lagi ancaman berbahaya kepada kanak-kanak dan keluarga yang terjejas," kata UNICEF lagi.