BEIRUT: Gencatan senjata selama 10 hari antara Israel dan Lubnan mula berkuat kuasa pada Khamis, beberapa jam selepas ia diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Trump berkata perjanjian itu melibatkan Hezbollah, dan turut mendedahkan bahawa Perdana Menteri Israel dan Presiden Lubnan berkemungkinan mengadakan pertemuan di Washington dalam tempoh satu atau dua minggu akan datang.
Advertisement
Bagaimanapun, Israel terus melancarkan serangan udara ke atas selatan Lubnan dalam jam-jam terakhir sebelum gencatan senjata bermula.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, angka korban akibat serangan Israel meningkat kepada 2,196 orang setakat Khamis.
Gencatan senjata berkenaan disambut baik oleh beberapa negara di rantau itu, termasuk Iran, Qatar dan Jordan, yang menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan serantau.
Dalam masa yang sama, Trump berkata AS berada “sangat hampir” untuk memeterai perjanjian dengan Iran, sambil memaklumkan satu lagi rundingan antara kedua-dua negara mungkin diadakan hujung minggu ini.
Beliau turut mendakwa Iran telah bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear, dan perjanjian yang sedang dirundingkan itu akan meliputi tempoh melebihi 20 tahun.
Di Washington, Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan bahawa pasukan AS telah mematahkan atau mengarah pulang 14 kapal dalam tempoh 72 jam sejak sekatan Washington ke atas pelabuhan Iran mula berkuat kuasa.
Dalam perkembangan politik domestik, Dewan Perwakilan AS menolak usaha Parti Demokrat untuk mengehadkan kuasa Presiden Trump dalam melancarkan tindakan ketenteraan terhadap Iran.
Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Trump terus mempertahankan pendekatan tegasnya di Asia Barat, walaupun berdepan tekanan daripada sebahagian ahli politik dan masyarakat antarabangsa.