Skip to main content

Hiburan

Pelakon 'Ever After', 'Les Misérables' Patrick Godfrey meninggal dunia

Patrick Godfrey
Godfrey (foto) menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada Khamis lalu, dikelilingi ahli keluarga. -Gambar fail/Shutterstock

LONDON: Pelakon veteran British Patrick Godfrey, yang dikenali menerusi pelbagai watak dalam siri televisyen "Doctor Who" serta filem "Ever After: A Cinderella Story" dan "Les Misérables", meninggal dunia pada usia 93 tahun.

Menurut laporan portal hiburan Variety, agensi bakatnya Markham, Froggatt & Irwin mengesahkan beliau menghembuskan nafas terakhir di kediamannya pada Khamis lalu, dikelilingi ahli keluarga.

“Dengan rasa amat sedih, kami mengesahkan pemergian Patrick Godfrey.

"Beliau seorang pelakon berbakat dan insan yang luar biasa, dan kami akan amat merinduinya,” menurut kenyataan agensi itu.

Dilahirkan di London pada 13 Februari 1933, Godfrey memulakan kerjaya profesionalnya pada 1956 bersama BBC Radio Drama Company.

Sepanjang lebih enam dekad dalam industri hiburan, beliau mengumpul lebih 150 kredit lakonan merangkumi filem, televisyen, teater dan permainan video.

Antara watak yang paling diingati termasuk peranannya sebagai Leonardo da Vinci dalam filem "Ever After" (1998) bersama Drew Barrymore, selain penampilan dalam "Les Misérables" (2012) dan "A Room with a View".

Bagi peminat "Doctor Who", beliau dikenali menerusi watak Tor dalam episod "The Savages" (1966) dan Mejar Cosworth dalam "The Mind of Evil" (1971).

Selain lakonan, mendiang turut menyumbang suara dalam permainan video popular seperti "BioShock 2" dan "Red Dead Redemption".

Godfrey meninggalkan balu, Amanda Walker, serta dua orang anak, Richard dan Kate.

 

Must Watch Video

Advertisement