GAZA : Kementerian Kesihatan di Gaza pada Selasa memberi amaran bahawa generator di hospital akan berhenti berfungsi dalam tempoh 48 jam akibat kekurangan bahan api, lapor Agensi Anadolu.

"Kita mempunyai tempoh kurang 48 jam sebelum semua generator di hospital kehabisan bahan api," kata jurucakap kementerian, Ashraf Al-Qudra dalam kenyataan ringkas di Telegram.

Beliau berkata bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza sangat perlahan dan ini tidak dapat mengubah keadaan, manakala sistem penjagaan kesihatan telah mencapai tahap terburuk dalam sejarah.

Pada Isnin kementerian itu dilaporkan berkata sebanyak 32 pusat kesihatan tidak lagi beroperasi disebabkan kekurangan bahan api selain menjadi sasaran pesawat perang Israel.

Kementerian turut menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah segera menyalurkan bekalan darah dan bahan api bagi membantu sektor kesihatan di Gaza.

-- BERNAMA