INTERNATIONAL
Germanwings: Teman wanita, gangguan mental dan penglihatan punca kecelaruan Lubitz

Lubitz disifatkan sebagai orang yang mempunyai personaliti yang berubah mengikut mood. - Gambar Fail
Siasatan tragedi pesawat Germanwings 4U9525 yang terhempas di pergunungan Alps di selatan Perancis pada Selasa lalu kini tertumpu kepada isu psikologi pembantu juruterbangnya, Andreas Lubitz.
Dalam perkembangan terbaharu seperti yang dilaporkan media German, Lubitz didapati mempunyai hubungan yang ‘tidak menentu’ dengan teman wanitanya, Kathrin Goldbach, 26.
Beberapa minggu sebelum tragedi yang mengorbankan kesemua 150 orang dalam pesawat berkenaan, Goldbach dilaporkan sudah hilang sabar dengan sikap Lubitz yang suka mengongkong hingga dia bercadang untuk mencari tempat tinggal lain.
Pasangan tersebut yang sudah tujuh tahun tinggal bersama dikatakan semakin bermasalah apabila khabar mengenai kehamilan Goldbach tidak dapat ditangani dengan baik oleh Lubitz.
Lubitz yang sering menunjukkan kecelaruan emosi membuatkan Goldbach berasa tidak selamat untuk meneruskan hubungan mereka lalu mengambil keputusan untuk mengakhirinya.
Dalam pada menghadapi krisis itu, Lubitz telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membeli dua buah kereta Audi, salah satunya dipercayai untuk dihadiahkan kepada Goldbach.
Testimoni orang terdekat
Seorang kenalan terdekat pasangan itu memberitahu, Lubitz merupakan seorang yang ‘terlalu mengawal’ dan mendominasi keputusan orang lain.
“Lubitz selalu menentukan jenis pakaian yang boleh dipakai teman wanitanya, selain lelaki lain yang boleh Goldbach temui untuk bercakap. Malah ukuran panjang skirt Goldbach juga ditentukannya. Semua orang perlu mendengar cakapnya,” kata sumber itu.
Seorang lagi kenalan mendedahkan, Goldbach pernah mengatakan bahawa Lubitz secara amnya seorang yang baik namun dia memiliki satu sisi personaliti lain yang mengubah moodnya dengan mendadak.
Maklumat psikologi seterusnya didapatkan daripada orang terdekat yang pernah berurusan dengan Lubitz iaitu seorang pengusaha restoran piza berdekatan kediaman Lubitz di Dusseldorf, Habib Hassani.
“Kalau memesan piza, dia mengarahkan saya supaya mesti ikut kehendaknya. Dia tidak pernah memesan daripada menu yang tersedia tetapi mendesak saya buatkan piza berdasarkan apa yang dia mahukan.
Selalunya, dia sering meminta pizanya mempunyai paprika, kepingan ham, bawang and brokoli,” kata Habib.
Testimoni lain mengenai Lubitz datang daripada seorang pramugari yang hanya mendedahkan nama pertamanya iaitu Maria.
“Dia sering bertanyakan tentang gaya penampilannya dan bagaimana dia dilihat dan dinilai oleh orang lain.
“Pernah sekali dia memberitahu saya bahawa dia akan melakukan sesuatu untuk mengubah keseluruhan ‘sistem’, supaya dunia akan mengenalinya dan mengingati namanya,” kata Maria.
Bagi Lubitz, bagaimana orang lain menilai dirinya merupakan aspek yang sangat kritikal.
Kemerosotan daya penglihatan
Selain berdepan masalah dengan teman wanita, Lubitz turut bimbang dengan masa depan kerjayanya apabila mengetahui dirinya mengalami masalah kemerosotan penglihatan yang boleh menjejaskan pemilikan lesen penerbangannya.
Jumaat lalu, pihak penyiasat yang memeriksa kediamannya menemui pelbagai jenis ubat-ubatan dan beberapa laporan doktor tentang tahap kesihatan matanya.
Salah satu daripada laporan yang diterima sehari sebelum tragedi berkenaan, ditemui dalam keadaan direnyuk dan dikoyakkan.
Semalam, pihak polis mendedahkan bahawa Lubitz menderita penyakit psikologi teruk yang memerlukan perhatian beberapa pakar saraf dan psikologi.
Sehingga ke detik akhir nyawanya, Lubitz sedaya upaya mahu merahsiakan masalah peribadi dan tahap kesihatannya itu daripada majikannya.
Sebahagian daripadanya dapat dilakukan kerana undang-undang kerahsiaan Jerman yang sememangnya melarang doktor mendedahkan masalah kesihatan, termasuk kecelaruan mental yang dihidapinya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami