CHROMECAST adalah ciri yang kini ramai kenali. Ia membenarkan kandungan skrin telefon atau tablet pengguna dikongsi pada skrin lain seperti televisyen pintar atau monitor pintar.

Kebanyakan pengeluar yang menyokong ciri ini akan memaparkan label Chromecast built-in dan ini akan berubah kerana Google telah menjenamakannya semua kepada Google Cast.

Google Cast bukanlah nama baharu. Pada bulan Mac 2016, Chromecast pernah ditukar kepada Google Cast tetapi ditukar kembali kepada Chromecast kerana populariti dongel keluaran Google yang mampu milik ketika itu.

Semasa pengumuman Android Automotive OS beberapa minggu lepas, Google telah menggunakan terma Google built-in untuk pengeluar kenderaan yang mengintegrasikan perkhidmatan Google pada sistem inforia mereka dan salah satu ciri adalah Google Cast.

Malah laman web Android.com dan laman Google Support turut telah menggunakan terma Google Cast secara rasmi.

Dalam semakan saya sendiri, Google hanya mengubah nama bagi ciri ini dan tiada sebarang perubahan pada ciri dan fungsi.

Buat masa ini, majoriti produk dengan ciri berkongsi kandungan skrin telefon/tablet ke skrin lain masih menggunakan Chromecast built-in.

Perubahan nama mungkin akan berlaku secara berperingkat. -Amanz